MCA: Sikap Umno boleh mengundang padah

(Dikemaskini )

Sebarang tindakan sepihak oleh Umno berhubung cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 akan mengundang padah, kata MCA hari ini.

Ketua biro keharmonian agama parti itu, Ti Lian Ker, berkata pihaknya memang tidak akan membuat sebarang spekulasi terhadap usul berkenaan.

"Kami akan menunggu maklumat lanjut sebelum memberikan komen," katanya.

Bagaimanapun, kata Ti, sebarang perbezaan pandangan mesti ditangani mengikut semangat kesepakata BN, kecuali ada pihak atau Umno tidak berpegang kepadannya lagi.

"Jika begitu keadaannnya, ia akan mengundang bencana kepada keharmonian masa depan negara," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahu undang-undang sivil

Cadangan meminda undang-undang yang turut dikenali sebagai Akta 355 itu dimulakan oleh PAS melalui usul persendirian presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku anggota parlimen Marang.

Bagaimanapun pada 17 Mac lalu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan akan membentangkan sendiri usul pindaan Akta 355 dalam sidang parlimen kali ini.

Kata Ahmad Zahid, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini.

"Insya-Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang-orang Melayu. Biarlah kita kehilangan segelintir 'kawan' kita tapi kita akan dapat 'kawan baru' yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita.

"Kawan baru kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengetepikan agama lain," katanya.

Sebelum ini parti komponen BN - termasuk MCA, MIC dan parti dari Sarawak - menyatakan secara terbuka untuk menolak cadangan berkenaan.

Dianggap sebagai permulaan kepada pelaksanaan hudud oleh sesetengah pihak, PAS bertegas mendakwa cadangan berkenaan adalah untuk meningkatkan hukuman maksimum bagi orang Islam yang melakukan kesalahan syariah.

Menurut Ti, pendirian MCA kekal seperti dulu iaitu menentang sebarang pindaan yang dibuat tidak mengikut perlembagaan.

"Pada pandangan peribadi saya, sebaiknya jika ada perlakuan jenayah yang melibatkan atau memberi kesan kepada orang bukan Islam, hukum yang perlu digunakan ialah undang-undang sivil, bukan syariah.

"Keadaan itu lebih perlu terutama apabila peratuan pembuktian jenayah membezakan orang bukan Islam dan wanita tanpa mengira kepercayaan agamanya," kata Ti yang juga seorang peguam.

[Baca berita penuh]

Share