malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerana DAP setitik rosak pembangkang sebelanga
ADS

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata, DAP telah menjadi "masa depan yang gelap" untuk keseluruhan pembangkang di negara ini.

Menurut Idris, ini kerana, beberapa kenyataan yang dikeluarkan DAP - terutamanya oleh Anggota Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, memberi peluang kepada BN untuk menyerang parti pembangkang.

"Gelagat yang ditunjuk DAP merupakan masa depan gelap untuk pembangkang.

"Ia memberikan keyakinan lagi pada Umno dan BN dengan tindakan Chong yang bercakap tentang menyekat kemasukan guru agama Islam semenanjung ke Sarawak.

"Yang beri umpan pada Umno dan BN ialah DAP. Itu tindakan tak cerdik," katanya hari ini.

Idris bercakap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Titiwangsa di Ampang Jaya, Selangor.

Beliau mengulas ucapan Chong di Dewan Rakyat beberapa hari lalu yang meminta kerajaan membatalkan rancangan menghantar lebih 400 orang guru Pendidikan Islam ke Sarawak.

Kata Chong, langkah itu akan mengancam keharmonian serta persefahaman penduduk pelbagai agama serta kaum di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Idris berkata, walaupun pembangkang terjejas dengan pendirian anggota parlimen itu, PAS berada dalam keadaan lebih baik.

"Tapi PAS hari ini dah lepaskan diri (daripada terpalit dengan isu itu). Kita tak tanggung beban liabiliti yang dibawa DAP," katanya.

Sehubungan itu, Idris yang merupakan anggota parlimen Bukit Gantang berharap agar rakyat terutamanya kaum Melayu dapat membei peluang kepada PAS untuk memerintah.

"Sebab itu kita nak beritahu orang Melayu di negara ini, biar PAS yang jaga mereka pula," katanya lagi.

PAS tak apalah

Berucap di Dewan Rakyat pada 15 Mac lalu Chong menyuarakan bantahannya semasa berucap membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Kata pengerusi DAP Sarawak itu, kerajaan tidak wajar mencemar pemikiran enerasi baru Sawarak atau membawa falsafah dan pemikiran yang sempit agama dari semenajung ke Sarawak.

Menjelaskan lebih lanjut kenyataan itu, Chong berkata ada ramai Muslim tempatan yang layak menjadi guru Pendidikan Islam di sekolah Sarawak.

"Apabila Jabatan Agama Islam Sarawak mengiklankan kekosongan dua jawatan guru pada Januari 2017, mereka menerima lebih daripada 4,400 permohonan.

"Daripada mengambil dan melatih Muslim tempatan, Kementerian Pendidikan memilih mengambil 433 guru dari semenanjung dan dihantar ke Sarawak," katanya.

Ucapan Chong itu mendapat kecaman keras PAS, termasuk Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, dan Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Idris berkata, kenyataan Chong itu akan membawa keuntungan kepada BN dan menjadikan parti pembangkang lain sebagai mangsa.

"Dia buat orang lagi marah pada pembangkang. Akhirnya, Umno dan BN yang untung," katanya.

Namun Idris mendakwa dalam keadaan itu DAP tidak terjejas kerana parti itu meletakkan calon di kawasan majoriti bukan Islam. PAS juga, katanya, kurang terkesan.

"Dia (DAP) tak apalah, (bertanding) kawasan Cina, bukan Islam, (maka) dia boleh menang. Tapi yang jadi mangsa parti lain.

"PAS tak apa, tapi PKR (yang) jadi mangsa, AMANAH (Parti Amanah Negara) jadi mangsa, Parti Pribumi (Bersatu Malaysia) jadi mangsa," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perasmian berkenaan.

Lihat Komen