malaysiakini logo
story-image
ADS

Pihak berkuasa negara ini memperoleh contoh DNA bagi mengesahkan identiti Kim Jong-nam selepas pegawai kerajaan pergi ke luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, contoh DNA berkenaan didapati daripada anak lelaki Jong-nam.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, beliau tidak boleh mendedahkan di mana pegawai kerajaan dan anak Jong-nam bertemu.

"Saya tak boleh dedahkan. Pihak berkuasa Malaysia pergi ke sana (bertemu anak Jong-nam di luar negara). Saya tak boleh dedahkan butirannya," kata beliau di parlimen hari ini.

Kenyataan itu sekali lagi menegaskan bahawa lelaki yang membawa pasport Korea Utara dengan nama Kim Chol dan dibunuh pada 13 Februari lalu adalah abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Sebelum ini Pyongyang mendakwa lelaki itu bukanlah Jong-nam walaupun mengakui dia warga Korea Utara.

Kematian Jong-nam, 46, selepas diracun di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) turut membawa kepada ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.

Polis sebelum ini sudah membuat pengesahan sama.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata sampel DNA anak lelaki Jong-nam itu kemudian dibawa ke Kuala Lumpur dan dibuat perbandingan.

"Selepas dibuat perbandingan, memang (lelaki) itu sah Jong-nam," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan mayat Jong-nam, Ahmad Zahid berkata, polis akan mengambil tindakan berdasarkan permintaan waris si mati.

Oleh sebab itu, katanya, pihak kedutaan tidak boleh meminta mayat berkenaan untuk dibawa pulang ke Korea Utara, kecuali mendapat keizinan daripada keluarga Jong-nam.

"Kerajaan juga akan dapatkan nasihat peguam negara dalam hal ini," katanya.

Lihat Komen