malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib: Lawatan Raja Salman lenyapkan tuduhan palsu
ADS

Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud awal bulan ini telah melenyapkan tuduhan palsu bahawa Malaysia negara gagal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kalau ada pihak menidakkan kita, konon kita negara gagal, tak stabil ekonomi kita dan sebagainya yang sebabkan maklumat salah sampai​ ke pihak Saudi terutamanya Aramco (Saudi Arabian Oil Company), kononnya EPF (KWSP) dah bankrap, kita tak ada duit nak bayar gaji pegawai kerajaan, (dan) macam-macam.

"Bila Raja Salman datang lenyap segala tuduhan palsu yang dibangkitkan pihak-pihak yang tak bertanggungjawab," kata Najib kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai pengiktirafan yang diterima Malaysia daripada lawatan Raja Salman.

Pembangkang membangkitkan isu mengenai deposit RM2.6 bilion yang diterima Najib daripada keluarga Diraja Saudi semasa lawatan Raja Salman.

Bagaimanapun Raja Salman tidak bercakap apa-apa mengenainya semasa lawatan itu.

Penyokong Najib menjadikan tindakan berdiam diri itu sebagai bukti tiada salah laku membabitkan skandal berkenaan, manakala pembangkang mendakwa ia bermaksud Raja Salman tahu bahawa wang itu tidak datang dari keluarga Diraja Saudi.

Perdana Menteri sendiri tidak merujuk mengenai sumbangan itu apabila mengatakan Raja Salman telah melenyapkan tuduhan palsu terhadap Malaysia.

 

Lihat Komen