malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
21 pengikut Ayah Pin ditahan
Published:  Jul 4, 2005 1:54 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
ADS

Terjemahan Seramai 21 orang yang didakwa menjadi pengikut kumpulan agama yang diketuai oleh Ayah Pin di Terengganu, telah ditahan semalam kerana didakwa memilik dokumen-dokumen yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Islam Hadhari Negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, mereka yang ditahan itu berusia antara 30-an dan 60-an dan tujuh daripadanya adalah wanita.

Katanya, operasi selama tujuh jam itu bermula lewat hari Sabtu lalu yang membabitkan 21 anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT) dan 40 anggota polis.

Antara yang ditahan ialah seorang pegawai polis dan seorang anggota kumpulan rock tempatan serta isteri keempat Ayah Pin atau nama sebenarnya, Ariffin Mohanmad, 65, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Bagaimanapun, Ayah Pin (foto) yang menjadi sasaran operasi tersebut tidak ditemui walaupun pihak berkuasa memeriksa dan menggeledah premis di situ termasuk tiga buah rumah milik pemimpin tersebut.

Ayah Pin yang menjadi ketua tersebut mendakwa dirinya sebagai tuhan. Perkampungan tersebut popular di kalangan orang Islam, kaum Cina dan India serta pelancong asing yang melawatnya pada hujung minggu untuk berbincang mengenai pelbagai isu dengan Ayah Pin.

Empat anggota kumpulan tersebut pernah dihukum dua tahun penjara pada tahun 1998 kerana tuduhan murtad selepas mengisytiharkan diri mereka keluarkan daripada Islam.

Muhammad Ramli berkata, mereka akan didakwa mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2001 yang membawa hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara.

Mereka kemudiannya dibebaskan dengan ikatjamin RM1,000 seorang dan akan dihadapkan di Mahkamah Syariah pada 23 September depan, katanya.

Binaan aneh

April lalu, pihak berkuasa telah menghantar notis mengarahkan Ayah Pin supaya merobohkan beberapa binaan aneh berbentuk simbol-simbol tertentu di kampung tersebut seperti cerek, payung dan kapal yang didakwa sebagai bahtera Nabi Nuh. Beliau diberi tempoh sehingga 28 Mei untuk berbuat demikian.

"Kami tidak akan mematuhi arahan tersebut," kata jurucakap kumpulan Ayah Pin, Rosli Abdul Samad, 37, kepada AFP.

"Kami tidak melakukan apa-apa kesalahan. Kami menyebarkan keamanan dan perpaduan di kalangan semua kaum.Kami bukan militan," tambahnya.

Katanya, struktur tersebut dibina untuk menggalakkan perpaduan di kalangan semua agama dan menuduh pemimpin Islam tempatan sedang berusaha untuk membendung ajaran Ayah Pin dengan mengarahkan binaan itu dirobohkan.

Isu agama adalah sensitif di Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam, terutama apabila orang Islam meninggalkan agama mereka. Kerajaan sentiasa mengawasi dan bertindak terhadap kumpulan yang didakwa menyeleweng daripada ajaran Islam.

Parti PAS yang memerintah Terengganu sehingga tahun lalu, pernah berusaha untuk menutup perkampungan tersebut pada tahun 2000. Tetapi pengikut Ayah Pin telah mendapatkan perintah mahkamah untuk terus berada di situ.

- AFP


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.