malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Dengan gayanya yang biasa, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan jawapan tajam kepada anggota parlimen Umno berhubung isu pemilikan kekal harta tanah di Forest City.

Bercakap kepada media di Petaling Jaya hari ini, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, Anggota Parlimen Sekijang, Anuar Manap, mungkin tidak memahami maksud bahasa Melayu.

"Pada mata semua orang, tanah itu hak milik kekal. Ia (papan tanda) menyatakannya dengan jelas.

"Tapi kalau dia tak faham (bahasa Melayu), dia mesti pergi sekolah semula (untuk belajar)," katanya pada sidabg media yang diadakan di Ibu Pejabat BERSATU hari ini.

Pagi tadi Anuar menyangkal dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa kerajaan Johor memberikan hak milik kekal tanah negeri berkenaan kepada orang asing dalam projek pembangunan Forest City.

Kata Anuar, status pegangan kekal adalah hanya untuk hak milik strata dan bukannya tanah.

“Memanglah hak milik kekal sebab kerajaan bukan luluskan tanah tetapi hak pemilikan strata.

Tidak ada seinci pun tanah Johor yang dimaksudkan adalah hak milik kekal,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas tindakan Dr Mahathir bergambar dengan papan tanda mengiklankan harta tanah hak milik kekal di projek kediaman Gelang Patah untuk membuktikan dakwaannya bahawa kerajaan BN Johor menjual tanah kepada rakyat asing.

Sementara itu Timbalan Ketua PKR Johor, Jimmy Puah, mendakwa Anuar terkeliru dengan isu berkenaan.

Puah yang juga seorang peguam dan sering menguruskan jual beli harta tanah berkata, hanya tanah dengan status hak milik kekal boleh mengeluarkan hak pemilikan strata kekal.

"Satu-satunya perbezaan antara sesebuah harta tanah hak milik kekal dengan harta tanah strata ialah, bagi strata anda tidak boleh membayar cukai tanah secara individu sebaliknya secara kolektif dengan pemilik lain.

"Selain daripada itu, hak milik mereka adalah sama," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Puah berkata , seseorang pemilik akan memiliki harta tanah itu secara kekal kecuali pejabat tanah merampas hak berkenaan kerana tidak membayar cukai, atau untuk kegunaan projek pembangunan komersial.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen