malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tak guna bincang heret Husam ke mahkamah syariah, kata Idris
ADS

Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyifatkan tidak ada keperluan bagi kepimpinan pusat parti itu membincangkan cadangan mengheret Datuk Husam Musa ke mahkamah syariah kerana melanggar 'baiah talak', seperti gesaan pemimpin akar umbi parti itu.

Ini kerana, katanya, Husam yang kini bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan PAS dan malah mesyuarat malam semalam, langsung tidak menyentuh isu berkenaan.

“Kita tak peduli dia. Dia bukan ahli kita lagi, dia pun dah keluar dah, dia pun nak jatuhkan PAS di Kelantan tak perlu bincangkan.

“Tak guna bincang dengan orang yang yang dah keluar dengan kita, tak perlulah. Semalam kita tak bincang apa.

“Kita bincang PRU (pilihan raya umum) dan nak jatuhkan BN dan Umno,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen.

Idris berkata demikian ketika ditanya mengenai usul PAS Tanah Merah yang mahu mana-mana bekas pemimpin parti itu yang melanggar sumpah taklik dan baiah yang dilafaz sebelum ini. didakwa di mahkamah syariah.

Menurut mereka, perbuatan individu berkenaan sangat memalukan serta seolah-olah mempermainkan sumpah tersebut.

Buat huru-hara

Mengulas lanjut, Idris bagaimanapun berkata bahawa beliau lebih takutkan Allah berbanding baiah itu.

“Saya takut dengan baiah, kamu pernah dengar baiah tu… memang menggerunkan saya. Bagi saya bukan soal talak, cerai. Soal bercerai bukan benda biasa tapi yang paling takut antara kita dengan Allah taala.

“Saya takut, tapi kalau orang lain tak takut dia punya pasal la. Saya tak boleh paksa orang,” katanya.

Lafaz taklik dan sumpah baiah dimestikan kepada semua calon yang diturunkan mewakili PAS pada pilihan raya di Kelantan.

Ia diperkenalkan ketika PAS bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995 apabila kerajaan Kelantan berdepan cabaran ekoran tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.

Melalui lafaz itu, perkahwinan seseorang wakil rakyat dianggap terbubar dengan talak tiga jika mereka meninggalkan PAS.

Sementara Naib Presiden AMANAH, Datuk Mujahid Yusof Rawa ketika ditemui pemberita berkata isu mengenai baiah ini hanya memburukkan keadaan dan mengakibatkan huru hara dalam rumah tangga.

“Bagi saya inilah gambaran buruk yang digambarkan oleh sebuah parti Islam atas kepentingan politik boleh buat rumah tangga orang huru-hara itu tidak wajar.

“Pada awal, baiah itu boleh dipertikaikan, kenapa lompat parti dan memelihara rumah tangga orang lebih utama dari kepentingan politik.

“Elok dimansuhkan kerana beri gambaran hodoh pada Islam hingga memecah-belahkan rumah tangga orang yang pada awalnya boleh dipertikaikan betul ke tidak baiah itu,” katanya.

 

Lihat Komen