malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

PAS akan melancarkan tabung mengutip derma untuk membiayai kos guaman yang diperlukan parti itu menyaman dua pihak yang mengaitkan mereka dengan dana RM90 juta - portal Sarawak Report serta Datuk Husam Musa.

Mengingatkan orang ramai bahawa satu daripada saman berkenaan akan difailkan di London, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, setakat ini parti itu sudah menyerahkan bayaran £13,000 (RM70,200) untuk membolehkan peguam di sana melakukan proses selanjutnya.

“Kita (PAS) akan lancarkan tabung di kalangan ahli untuk dapatkan derma pembiayaan.

"Setakat hari ini kita sudah serahkan £13,000 dan itu sumbangan ahli PAS,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Ditanya mengapa PAS mengambil masa begitu lama untuk memulakan saman tersebut, Idris yang juga anggota parlimen Bukit Gantang berkata: “Nak saman memang lama. Nak bawa lari kerusi (lompat parti) yang sekejap. Mahkamah sana bukan macam mahkamah Londang, Melaka, tapi London,” katanya.

Tujuh bulan lalu portal yang sering membuat pendedahan kontroversi, Sarawak Report - berdasarkan "kecurigaan meluas" - mendakwa Datuk Seri Najib Razak menawarkan RM90 juta kepada PAS selepas melihat sikap ketara parti berkenaan kepada perdana menteri.

Ekoran laporan berkenaan, pada 13 Ogos 2016 Malaysiakini melaporkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai berkata, PAS akan memfailkan saman terhadap Sarawak Report "dalam masa sebulan ini".

Kata presiden PAS itu mereka membuat keputusan membawa kes itu ke mahkamah di England kerana difahamkan Sarawak Report berpusat di sana.

"Kita kenal queen counsel (peguam kanan) yang pernah ada hubungan dengan kita dalam kes sebelum ini," katanya.

Nak segera juga

Kira-kira empat bulan kemudian saman itu belum difailkan dan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, mengakui menerima surat daripada PAS yang dianggapnya hanya political gesture.

"Saya menganggap tindakan mereka itu sebagai satu political gesture dan satu penyalahgunaan protokol yang mereka mahu eksploitasi," kata Rewcastle-Brown kepada Malaysiakini.

Isu itu kemudian disentuh bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam satu ceramahnya di Kelantan pada Februari lalu.

Husam adalah ADUN Salor yang kini menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ekoran kenyataan itu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menyatakan parti itu akan menyaman Husam dan menganggap kenyataan berkenaan sebagai "rantaian daripada fitnah dibuat Sarawak Report" sebelum itu.

Katanya, PAS menafikan sekeras-kerasnya "tuduhan jahat Datuk Husam Musa" bahawa PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

Bagaimanapun sehingga kini kedua-dua pihak terbabit belum disaman.

Sementara Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, pula berkata pihaknya masih belum menerima sebarang surat berkaitan saman yang ingin dimulakan PAS.

“Sehingga kini kami tak terima (surat), kertas saman pun tak ada.

"Kita (AMANAH) pun minta kalau boleh ada saman nak dikemukakan kalau dakwaan Husam tu tak betul, kita nak minta disegerakan juga,” katanya.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low, memberitahu Dewan Rakyat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah meneliti dakwaan berkenaan dan mendapati maklumat diterima mereka tidak jelas dan tiada unsur yang membolehkan siasatan dibuat.

Lihat Komen