Debat Mahathir-Nazri tiada faedah


(Dikemaskini )

ULASAN Buang masa - itu mungkin dapat merumuskan rancangan mempertemukan Datuk Seri Nazri Aziz dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di pentas debat.

Buat masa ini debat antara kedua-dua politikus adalah satu daripada perkara terakhir yang kita perlukan.

Alasan utama mengapa debat ini tidak wajar diteruskan ialah mengambil kira aspek keselamatan.

Ketika negara masih belum dapat merungkai kemelut diplomatik dengan Pyongyang - dan status sebenar aktiviti risikan ejen asing masih mengelirukan - untuk apa Dr Mahathir dan Nazri berdebat?

Demi nama, kebanggaan dan gah, atau sekadar mencari kebenaran? Dan jika untuk kebenaranlah, kebenaran apa?

Bukankah hakikat dan kebenaran itu sudah terbentang luas di depan mata? Isu 1MDB, misalnya, sudah terbukti tidak melibatkan sebarang salah laku atau penyelewengan.

Sekurang-kurangnya di dalam negara kita yang maha bertuah ini.

Peguam negara sebagai orang yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk mengelola sebarang isu perundangan sudah memberi pengesahan mutlak bahawa segala-galanya OK.

Perdana menteri yang amat kita kasihi itu sama sekali tidak terlibat dalam sebarang salah laku atau penyelewengan waima ada dana besar masuk ke akaun persendiriannnya.

Perlu masa fahami Muhyiddin

Tidak cukup dengan peguam negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga sudah mengesahkan tiada bukti menunjukkan Datuk Seri Najib Razak melakukan salah guna kuasa atau salah laku dalam 1MDB.

Ia adalah hukum alam. Macam "kun fayakun" - nak jadi, maka ia jadilah.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga sudah meneliti dan membincangkan dengan panjang lebar isu 1MDB ini. Isu laporan mengenainya diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Pindaan 1986) itu adalah hal yang lain.

Jika Dr Mahathir dan Nazri berdebat tentang 1MDB di Padang Rengas nanti, tidakkah ia hanya akan membuang banyak masa banyak orang?

Dr Mahathir sendiri mungkin perlukan masa itu untuk memahami rasional presiden partinya masih terhegeh-hegeh mahu merisik PAS yang sekarang nampak benar jual mahalnya.

Membaca politik semasa menunjukkan PAS bukanlah 'anak dara pingitan' yang wajar dikejar sangat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau individu tertentu dalam PKR.

PAS sendiri sudah berkali-kali memberitahu mereka adalah parti paling berpengalaman di negara ini. Hal itu diungkapkan sendiri presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Januari 2016.

Katanya, PAS sudah ada sejak sebelum merdeka.

Anak dara pingitan

Selepas wujudnya PAS, ia sudah berkali-kali mengadakan pakatan dengan parti lain. Sebagai sebuah parti "berpengalaman" dan pernah mengadakan pakatan dengan pihak lain - berkali-kali - Dr Mahathir mungkin perlukan masa untuk memahamkan sifir Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih menggagahkan diri merisik, kemudian meminang PAS.

Adakah PAS masih dilihat parti 'anak dara pingitan' di mata sesetengah pemimpin BERSATU dan PKR?

Nazri juga mungkin perlukan masa untuk mengelola kementeriannya yang penting itu. Sektor pelancongan adalah antara sumber pendapatan penting kepada negara.

Masa yang digunakan untuk berdepan dengan bekas bosnya itu mungkin lebih berfaedah diisi dengan merangka strategi menarik lebih ramai pelancong datang ke negara ini.

Tambahan pula di Malaysia ini sedang berlaku perkembangan yang begitu baik untuk pelancong asing datang, iaitu nilai ringgit yang masih amat rendah.

Jumlah kedatangan warga China pun mungkin perlu ditingkatkan lagi dan tidak terhad kepada Forest City semata-mata.

Nazri juga mungkin perlukan masa untuk berkempen - sama ada untuk dirinya sendiri atau Umno secara keseluruhan - kerana tarikh pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

Pembangkang pula ketika ini memang nampak benar perpaduan sesama mereka. Parti-parti pembangkang juga bertambah kuat sekarang.

Jangan lihat takrif "kuat" itu secara keseluruhan, sebaliknya perlu lebih objektif dan tersendiri. Setakat ini, pernahkah anda mendengar mana-mana parti mengaku lemah, tidak bersedia atau tidak yakin akan menang pada PRU akan datang?

PAS misalnya, sudah mendapat apa yang diidamkan sebahagian daripada ahlinya, iaitu bersendirian - dengan meninggalkan Pakatan Harapan - untuk menjadi lebih kuat.

Nazri lari debat?

Justeru, PAS sudah boleh meramalkan berlaku tsunami itu dan tsunami ini akan berlaku pada PRU ke-14 nanti.

Tetapi kalau debat itu memang hendak diadakan juga walaupun ia semacam sudah dilembagakan sebagai "bukan budaya kita", biarlah. Cuma pastikan ia tidak mengulang detik gemilang majlis Nothing To Hide yang sepatutnya berlangsung pada 2015 dulu.

Jangan biarkan Dr Mahathir tertanya-tanya mengapa ada orang "takut" kepada beliau.

“Saya orang biasa saja, saya bukan bawa senjata pun. Saya bukan boleh buat apa-apa pun," katanya pada 5 Jun dua tahun lalu.

Debat itu juga mungkin perlu bagi mengelak sebarang manipulasi pihak-pihak tertentu yang tidak berniat baik.

Sukar untuk membayangkan BERSATU tiba-tiba mengadakan ceramah dengan tema "Nazri lari dari debat 1MDB" atau Umno menganjurkan majlis penerangan mengapa "Dr Mahathir lari dari debat BMF".

Ia tidak layak dilakukan oleh BERSATU atau Umno kerana ia adalah praktik unik PAS Kelantan.

Debat itu juga bakal mendedahkan siapa lebih fasih berhujah - sama ada seorang doktor perubatan atau seorang peguam.

Jika dilihat sekali imbas, tentulah peguam, kerana seseorang yang memang dididik untuk berhujah - dan mematahkan hujah - di mahkamah tentu memiliki kemahiran yang tinggi dalam ilmu mantik.

Namun jangan terlalu yakin. Pemerhati politik tentu tahu Dr Mahathir juga memiliki kemahiran yang luar biasa jika berhujah. Lihat saja bagaimana beliau selama ini akan mampu menjawab apa saja soalan yang diajukan kepadanya.

Sama ada jawapan itu memenuhi kehendak soalan atau tidak, ia adalah isu lain. Dr Mahathir bukannya menjawab soalan SPM yang memang ada skema khusus ditetapkan Majlis Peperiksaan Malaysia.

Nazri yang menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno melalui proses lantikan pada 2013 juga boleh membuktikan bagaimana kepetahan dan keberanian beliau berhujah dengan sesiapa saja.

Jika dengan anak raja pun Nazri selamba untuk berbalas hujah, apa sangatlah Dr Mahathir yang semakin berumur itu, kan?

Jika akhirnya terbukti Nazri gagal mematahkan hujah Dr Mahathir, orang Umno jangan bimbang. Menteri pelancongan dan kebudayaan itu boleh saja diibaratkan sebagai seorang panglima kepada seorang pemerintah.

Nazri adalah orang bawahan yang dihantar untuk menduga pencak pengerusi BERSATU itu saja. Jika akhirnya langkah silat Nazri tidak cukup kemas, Umno ada pahlawan terulung, si pemberani terhebat berdarah pahlawan Bugis yang sedia mematahkan apa saja serangan daripada Dr Mahathir.

Jika aspek keselamatan menjadi persoalan, seseorang mungkin boleh memanggil Ibrahim Mat Zain untuk membantu.

Jika sempadan Malaysia pun boleh dipagarnya, apa sangatlah kawasan Padang Rengas bagi Ibrahim.


AL-ABROR MOHD YUSUF wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini

#}