Husam: Heretleh saya segera ke mahkamah syariah

(Dikemaskini )

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa menyatakan kesediaannya diheret ke mahkamah syariah dalam kes 'baiah talak', seperti gesaan pemimpin akar umbi parti itu.

Malah, pemimpin yang berpaling tadah ke Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, usul PAS Tanah Merah itu “wajib” diterima secepat mungkin.

“Saya sendiri mencabar PAS Kelantan berbuat demikian, lebih awal dari usul itu, iaitu ketika saya berucap di Ketereh pagi semalam, 11 Mac,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, beliau yakin PAS tidak akan berani berbuat demikian kerana ia didakwa hanya akan memalukan diri sendiri.

“Sekali pun PAS mungkin mengikut usul PAS Tanah Merah, berdasarkan kajian saya, mahkamah tidak akan memihak kepada PAS,” katanya.

Harakahdaily semalam melaporkan PAS Tanah Merah meluluskan usul supaya mana-mana bekas pemimpin parti itu didakwa di mahkamah syariah jika melanggar sumpah taklik dan baiah.

Usul itu mendesak PAS di peringkat pusat atau Kelantan bertindak segera sebab “hakim kata ada kes”.

Terdapat empat orang wakil rakyat yang didakwa melanggar baiah di Kelantan iaitu Datuk Kamarudin Jaafar, Dr Hatta Ramli dan Datuk Ibrahim Ali.

“Kesemua kami melafazkan baiah itu.

“Perbezaannya, Datuk Ibrahim Ali bukan ahli PAS pada masa ia diberikan izin bertanding atas lambang PAS tetapi beliau tetap diminta untuk melafazkan baiah itu,” katanya.

'Nik Aziz tak pernah bangkitkan'

Bagaimanapun, katanya, bekas murysidul am PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak membangkitkan isu itu kerana baiah itu dari awal 'tidak lekat' kerana beliau bukan anggota parti.

“Tujuan saya bangkitkan isu baiah berkait Datuk Ibarahim Ali, untuk membuka mata orang PAS, tidak jatuhnya talak dengan baiah Pas itu.

“Jika tidak, ATGNA (Nik Aziz) tentunya telah membangkitkan isu ini secara tertutup atau terbuka.

Ia tidak berlaku. Malang, pemimpin kecil yang datang kemudian berlagak tahu segala-galanya,” katanya.

Hatta pula, katanya berkahwin di luar Kelantan.

“Tinggal saya dan Dato KJ (Kamarudin). Saya menawarkan diri untuk menjadi kes ujian terhadap validity (kesahan) baiah PAS itu.

“Biar Mahkamah Syariah meneliti dan memutuskan kes ini berbanding pemimpin tanpa kelayakan untuk memfatwakannya.

“Sedangkan mana dulu antara taklik dan talak pun beliau tersilap,” katanya.

Husam berkata, PAS harus meminta maaf kepadanya jika kes itu gagal dibawa ke mahakamah.

Beliau juga mendakwa PAS kini tidak mempunyai idea membina apabila memperbesarkan itu baiah talak, yang disifatkannya sebagai “isu-isu tidak produktif”.

#}