malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB Johor ikrar kerjasama, tak campuri siasatan
Diterbitkan:  Mar 10, 2017 3:32 PM
Dikemaskini: 7:36 AM
ADS

Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin hari ini berikrar akan memberikan kerjasama penuh berhubung siasatan rasuah ke atas exco kerajaan negeri Datuk Abd Latif Bandi yang ditahan untuk membantu siasatan penukaran hak milik hartanah bumiputera.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

“Kerajaan negeri berpendirian adalah penting dan kritikal untuk pihak berkuasa dan proses penguatkuasaan undang-undang dipastikan berjalan dengan lancar dan bebas.

“Adalah menjadi ikrar dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan dan pentadbiran Johor bebas daripada sebarang masalah penyelewengan dan korupsi,” katanya.

Khaled juga menyeru seluruh anggota kerajaan, kakitangan serta masyarakat awam untuk bersama-sama memberikan kerjasama dan tidak melihat isu ini secara terburu-buru dan beremosi.

“Sebaliknya, marilah kita memfokuskan kepada tugas dan memberikan yang terbaik dalam memastikan pengurusan kerajaan negeri tidak terganggu,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berharap keadilan dan kebenaran akan dicapai oleh semua pihak.

Pagi tadi, Abd Latif ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berikutan penangkapannya di Johor Bharu semalam.

SPRM turut menyerbu rumah ADUN Endau, berusia 51 tahun itu dan merampas RM42,000 dalam bentuk wang tunai, sebuah Toyota Vellfire dan 150 beg tangan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, SPRM menahan enam individu atas dakwaan rasuah melibatkan penukaran hak milik tanah bumiputera.

Antaranya, SPRM menahan anak Abd Latif dan pegawai khas exco itu.

SPRM turut merampas 26 kenderaan mewah dan membekukan 45 akaun bank yang berkaitan dengan kes itu.

Abdul Latif sejak Rabu lalu mengambil cuti sementara siasatan dijalankan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen