malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jalan dalam lumpur pun boleh, kata Mahathir pada Nazri
ADS

Tun Dr Mahathir Mohamad sedia menghadiri satu majlis di Padang Rengas di Perak tanpa bentangan karpet merah oleh pengkritik paling lantangnya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Katanya, sebagai rakyat bawahan yang biasa ‘berkaki ayam’, Nazri yang juga ahli parlimen kawasan itu, boleh menjimatkan wang untuk kegunaan lain.

"Saya fikir tak payahlah belanja duit untuk tujuan itu, saya berjalan atas lumpur pun boleh.

“Saya bukan dari golongan tinggi, saya dari golongan bawah yang biasa jalan kaki tak pakai kasut jadi tak payahlah karpet merah.

"Suruh dia guna duit itu untuk belanja bagi kepada orang lain," kata Mahathir dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini selepas menghadiri pelancaran tayangan Premiere Filem Pendek Sikap.

Semalam, Nazri yang menyedari bahawa Mahathir akan datang ke Padang Rengas pada 25 Mac ini berkata, beliau mengalu-alukannya dan jika bekas perdana menteri itu mahu, beliau boleh membentangkan karpet merah untuk menyambutnya.

Bahas 1MDB, BMF

Kedua-dua mereka terheret dalam satu pertikaman lidah berikutan cabaran Nazri minggu lalu kepada bekas perdana menteri itu untuk melawannya di Padang Renggas dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, Mahathir, yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), membuat cabaran balas dengan menyarankan Nazri untuk bertanding menentangnya di kerusi Parlimen Langkawi.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa bekas perdana menteri yang berusia 91 tahun itu akan membuat kemunculan semula dalam politik selepas meletak jawatan pada tahun 2003.

Sehari kemudian, Mahathir berkata, beliau tidak berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, bekas presiden Umno itu mencadangkan agar diadakan debat berkenaan pelbagai isu termasuk 1MDB dan BMF.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau hanya mencabar anggota Parlimen Padang Rengas untuk bertanding di kerusi terbabit dan mahu berbahas dengan Nazri di hapadan orang ramai.

Hari ini, Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding di kerusi parlimen Langkawi dan hanya berminat berbahas dengan Nazri di hadapan orang ramai.

"Saya bagi tempat saya, tetapi saya tak nak bertanding. Kalau dia nak bahas dengan saya depan orang ramai, silalah.

“Boleh bahas isu 1Malaysia Developmet Berhad (1MDB), RM2.6 bilion dan skandal Bank Negara Malaysia (BMF)," katanya.

Kabinet pada 15 Februari lalu memutuskan untuk membentuk sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat apa yang didakwa sebagai "kerugian sebenar" Bank Negara kira-kira 25 tahun lalu dan mereka yang bertanggungjawab.

Pengkritik bagaimanapun mendakwa bahawa pasukan petugas itu bertujuan untuk mencemarkan imej Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika itu tetapi kini bersama pembangkang tetapi isu 1MDB yang masih hangat lansung tidak dipedulikan.

Lihat Komen