malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Najibplomatik' beri kesan positif pada negara, kata Annuar
Diterbitkan:  Mar 9, 2017 2:20 PM
Dikemaskini: 10:14 AM
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjaya membawa transformasi dalam hubungan diplomatik dan dagang yang penting dalam konteks pembangunan negara, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, kesan daripada transformasi 'Najibplomatik', hubungan Malaysia dengan negara luar kini lebih positif dan banyak menguntungkan negara.

“Berbanding suatu ketika dahulu, hubungan diplomatik lebih bersifat kepada kenyataan yang dilihat popular bagi personaliti (seseorang individu) namun ia tidak semestinya membawa kebaikan dalam hubungan politik antara negara.

“Kita dapat lihat dulu Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang agak tidak begitu mesra dengan Australia atau Singapura atau juga dengan negara barat Amerika.

"Malah suatu ketika dengan Arab Saudi sendiri walaupun kenyataan-kenyataan yang keluar daripada pimpinan boleh dilihat sesuatu yang ditafsirkan popular pada personality… tetapi tidak semestinya ia merupakan sesuatu yang baik dari segi hubungan diplomatik negara.

“Akibatnya sesetengah negara memandang negatif terutama sekali dari sudut perdagangan dan hubungan dua hala dan sebagainya,” ujarnya dalam satu wawancara khas bersama Umno-Online.

Namun tambah beliau, di bawah kepimpinan Najib, pandangan negatif ini telah dapat di atasi dengan baik.

“Malaysia masih mengekalkan prinsip berkecuali… prinsip mengekalkan Malaysia dalam konteks zon ‘freedom dan neutrality’ tetapi ia telah dibuat satu perimbangan melalui ‘positif engagement’.

“Sebagai contoh hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat, di zaman Datuk Seri Najib dapat diperbaiki kepada tahap yang sangat baik.

"Pada masa yang sama tidak menghalang Malaysia memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia dengan China walaupun Amerika dengan China ada sedikit sebanyak isu diplomatik tetapi negara kita telah memainkan peranan dan memberi keuntungan kepada negara kita sendiri,” katanya lagi.

Disebabkan hubungan baik antara negara jugalah jelas Annuar, masalah kuota haji dapat diselesaikan walaupun dahulu hubungan Malaysia dan Arab Saudi tidak begitu baik.

Malah, Malaysia juga kini memiliki hubungan yang sangat baik dengan Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, Jepun, Filipina dan sebagainya.

“Ini sangat penting untuk mengembangkan ekonomi negara kerana perkembangan ekonomi akan berlaku jika ada banyak pelaburan.

“Ini juga tidak mungkin dapat dilakukan kalau Malaysia tidak mempunyai rangkaian hubungan diplomatik dan hubungan dagang yang bersifat positif dengan negara-negara luar,” katanya.

Lihat Komen