malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Tak berbaloi melabur untuk tenaga nuklear'
Diterbitkan:  Mar 9, 2017 1:33 PM
Dikemaskini: 5:38 AM
ADS

Pendirian Malaysia yang cenderung ke arah tenaga nuklear disifatkan pembangkang sebagai langkah terkebelakang berbanding negara-negara maju seperti Jerman.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan Pakatan Harapan yang dikeluarkan tiga pemimpin kanannya iaitu Fuziah Salleh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Dzulkefly Ahmad daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Charles Santiago (DAP).

“Pakatan Harapan membantah keras cadangan kerajaan Umno BN berkaitan pembinaan infrastruktur nuklear di negara ini kerana kos dan risikonya terlalu besar,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Menurut mereka, Jerman contohnya kini beralih kepada tenaga kincir angin selepas tragedi nuklear Fukushima, Jepun pada 2011.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri kelmarin berkata, laporan akhir Kajian Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) Misi Fasa 1 akan dibentangkan kepada kabinet minggu depan.

Penilaian tiga fasa, yang dimulakan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), memuktamadkan bahawa Malaysia sudah bersedia sepenuhnya, dan telah membangunkan asas pengetahuan yang baik untuk membuat keputusan memperkenalkan kuasa nuklear.

Sementara itu, HARAPAN hari ini turut membangkitkan risiko gempa bumi yang berbahaya kepada infrastruktur nuklear.

“Sekalipun Malaysia tidak tergolong dalam negara di garis gempa bumi tetapi kajian menunjukkan garisan itu sudah berubah sejak kejadian gempa di Gunung Kinabalu, Sabah,” kata mereka.

Sementara itu, loji penghasilan tenaga itu juga memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi AS$2 hingga AS$4 bilion, malah boleh mencecah AS$9 bilion (RM40.5 bilion).

“Pakatan Harapan khuatir kos semahal itu akhirnya terpaksa ditanggung rakyat apabila harga pelbagai barangan naik akibat kesan domino.

“Sedangkan, rakyat sedia kala terhimpit dengan bebanan pelbagai kenaikan harga,” kata mereka.

HARAPAN sebaliknya mencadangkan kerajaan mempergiatkan penyelidikan dan penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh baharu (TBB).

Solar, ombak, biomass

Antara potensi yang boleh diteroka, menurut pembangkang, ialah teknologi solar, ombak dan biomass yang boleh diperoleh dengan mudah.

Mereka juga mencadangkan penyaluran bekalan elektrik dari projek hidroelektrik di Bakun, Sarawak ke Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut.

“Analisis yang dilaksanakan menunjukkan bahawa kos untuk mendapatkan bekalan elektrik dari hidroelektrik Bakun bagi tempoh jangka panjang adalah lebih rendah daripada kos mendapatkan bekalan elektrik daripada loji-loji janakuasa gas dan arang batu.

“Ia pastinya lebih murah daripada penjana nuklear,” katanya.

Lihat Komen