malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DUN Melaka: Ketua pembangkang diarah keluar dewan
Diterbitkan:  Mar 8, 2017 5:11 PM
Dikemaskini: 9:43 AM
ADS

Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Mohamad hari ini mengarahkan Ketua Pembangkang Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) keluar dewan dan tidak dibenarkan menghadiri persidangan itu hari ini.

Othman membuat keputusan itu setelah mendapati Khoo melanggar peraturan dewan dengan mengingkari arahan Speaker supaya duduk selain berterusan menyerang Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron yang sedang menjawab soalan tambahan Khoo mengenai isu rasuah di negeri ini.

Keputusan itu juga menyebabkan dua lagi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP iaitu Tey Kok Kiew (Bandar Hilir) dan Lai Keun Ban (Kota Laksamana) bertindak keluar dewan bagi membantah keputusan tersebut.

Terdahulu, Khoo dalam soalan tambahannya ingin tahu berhubung status projek dan pegawai awam yang terlibat dengan kegiatan rasuah di negeri ini.

Idris menjawab pegawai terlibat diambil tindakan mengikut prosedur perkhidmatan awam antaranya ditukar jawatan dan tempat bertugas.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan maklumat mengenai status projek terlibat kerana tidak masuk campur dalam urusan melibatkan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Khoo bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan itu dan berterusan menyerang Idris hingga tidak mempedulikan arahan Othman untuk duduk bagi memberikan ruang kepada Idris memberikan penerangan lanjut mengenai isu tersebut.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan (soalan asal) Tey mengenai bilangan kes rasuah melibatkan penjawat awam dan langkah diambil mengatasi gejala tersebut, Idris berkata 16 pegawai kerajaan di negeri ini terlibat dengan kes rasuah antara 2010 hingga tahun lepas.

"Kerajaan negeri Melaka sentiasa bekerjasama dengan SPRM Melaka dalam melaksanakan program pencegahan rasuah secara terancang dan berterusan. Program pencegahan rasuah dilaksanakan bukan sahaja tertumpu kepada sektor awam tetapi juga sektor lain," katanya.

-Bernama

Lihat Komen