malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PBB gesa bertenang, saran guna saluran diplomatik
Diterbitkan:  Mar 8, 2017 11:36 AM
Dikemaskini: 3:40 AM
ADS

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa kedua-dua negara, Malaysia dan Korea Utara supaya bertenang selepas Pyongyang melarang rakyat negara ini meninggalkan negara itu, sehingga mencetuskan tindakan balas oleh Putrajaya.

"Kami mohon bertenang dan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan sebarang perbezaan melalui amalan diplomatik," kata jurucakap PBB, Farhan Haq, yang dipetik Reuters.

Sementara itu, PBB akan membantu untuk membawa keluar dua daripada kakitangannya, yang adalah warganegara Malaysia, dari Korea Utara.

Sumber PBB di New York memberitahu Bernama bahawa kedua-dua wanita itu yang berusia 30-an, telah dihubungi sebaik sahaja notis larangan perjalanan ke atas rakyat Malaysia di Korea Utara dikeluarkan oleh Pyongyang seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa.

"Kedua-dua mereka selamat. Mereka bukan pegawai atau kakitangan Kedutaan Malaysia.

"Mereka adalah kakitangan kami (PBB) yang dihantar ke Korea Utara untuk menghadiri kursus berkaitan Program Makanan Sedunia (WFP)," kata sumber itu.

Beliau berkata, PBB juga akan menghantar seorang wakil untuk melicinkan proses membawa kedua-dua wanita itu keluar secepat mungkin.

Kedua-dua wanita itu adalah antara 11 rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara, ketika ini, di samping tiga kakitangan kedutaan dan enam ahli keluarga mereka.

Media rasmi Korea Utara, KCNA melaporkan bahawa tindakan Pyongyang menyekat semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu terus berkuatkuasa selagi kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, di KLIA2 tidak diselesaikan dengan betul.

- Agensi

Lihat Komen