malaysiakini logo
story-image
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengesahkan bahawa rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara kini berada dalam keadaan selamat.

Malah, menurut Najib, 11 rakyat Malaysia yang berada di Pyongyang itu juga tidak dikurung serta mereka dibenarkan untuk melakukan urusan seperti biasa.

"Kita utamakan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara. Kita ambil maklum bahawa mereka dibenarkan untuk menjalankan kehidupan seperti biasa. Mereka tidak dikurung.

"Mereka boleh keluar, boleh buat urusan mereka seperti biasa. Jadi tak ada kebimbangan atas keselamatan mereka," katanya kepada pemberita di Parlimen.

Selain itu, Najib berkata, kerajaan juga sedang meneliti apakah kemahuan Korea Utara.

"Kita tengah teliti apa sebenarnya kehendak kerajaan Korea Utara. Jadi kita nak pastikan, dalam pada itu, kita kekalkan keputusan kita tak benarkan rakyat Korea Utara keluar dari Malaysia," katanya.

Ditanya sama ada Malaysia ada melakukan rundingan bersama Pyongyang dan Kim Jong-un, Najib berkata, perkara itu tidak boleh didedahkan demi keselamatan rakyat Malaysia di sana.

"Kita ada cara kita tapi saya tak nak sebut apa caranya sebab yang saya utamakan ialah keselamatan rakyat Malaysia.

"Kalau ada pun (berhubung dengan Kim Jong-un), kita ada tindakan susulan kerana benda ini sensitif dan kita mesti utamakan rakyat Malaysia (di sana).

"Jadi kalau ada rundingan pun, tidak boleh melalui media.

"Saya tak boleh dedahkan terlalu banyak. Ia mungkin akan menjejaskan," kata beliau yang juga anggota Parlimen Pekan itu.

Ditanya mengenai kenyataan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang ingin menyelamatkan dua rakyat Malaysia yang bekerja dengan mereka di Pyongyang, Najib berkata:

"Kita akan lihat perkembangannya sebab saya ada beberapa perkara yahg saya minta untuk dilaksanakan tapi saya tak boleh maklumkan," kata Najib.

Selain itu, mengenai soalan berapa lama lagi rundingan akan dijalankan, Najib sekali lagi memberitahu bahawa pihaknya telah berusaha dan mempunyai perancangan tersendiri.

"Kita ada usaha dan perancangan. Kita tak boleh dedahkan segalanya. Kebajikan rakyat Malaysia adalah paling penting. Kadang-kadang lebih baik kita jalankan secara rahsia," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada Malaysia telah menyekat (seizing) hubungan diplomatik dengan Korea Utara, Najib berkata, pada ketika ini, hubungan masih lagi berjalan.

"Pada waktu ini, masih lagi ada (hubungan) kerana mereka menyediakan saluran kepada kita. Kerana kita perlu mempunyai saluran untuk bercakap dengan mereka, untuk berunding dengan mereka," jelasnya lagi.

Semalam, Najib mengecam tindakan Pyongyang yang menyekat rakyat Malaysia daripada meninggalkan republik itu.

Ia selepas Pyongyang semalam mengumumkan sekatan sementara kepada semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu atas alasan bagi memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya di Malaysia.

Lihat Komen