malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shahidan cabar gaji MP pembangkang dipotong 50 peratus
ADS

PARLIMEN I Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mencabar anggota parlimen pembangkang membuat potongan gaji sebanyak 50 peratus, dalam pertengkaran melibatkan isu perkhidmatan awam hari ini.

Shahidan membuat cabaran itu selepas Rafizi Ramli (PKR-Pandan) mencadangkan menteri Umno itu memotong gajinya sendiri jika benar-benar mahu memperjuangkan nasib penjawat awam.

"Potong gaji saya semua, no problem.

"Potong gaji semua MP pembangkang. YDP (Yang di-Pertua Dewan Rakyat), saya buat usul semua ahli parlimen potong 50 peratus (gaji), setuju tak?," katanya.

Terdahulu, Shahidan mencelah ucapan ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan mendakwa DAP menjalankan kempen bagi mengurangkan jumlah penjawat awam.

Ini mendorong sorakan daripada kalangan anggota parlimen pembangkang.

Anthony Loke (DAP-Seremban) menafikan DAP berkempen supaya jumlah kakitangan awam dikurangkan kepada separuh, tetapi hanya melahirkan kebimbangan mengenai saiznya yang besar.

Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) pula kemudian menegaskan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani sendiri mengakui lebihan penjawat awam.

Perdebatan itu berlangsung selama beberapa minit sebelum reda.

Wan Azizah kemudian berkata terdapat kebimbangan mengenai jumlah kakitangan awam, namun menegaskan bahawa penjawat awam menyediakan 'perkhidmatan yang baik dan berkhidmat untuk negara'.

Shahidan, bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut.

"Pembangkang sekarang takut dengan penjawat awam," katanya memaksa G Manivanan (PKR-Kapar) meminta beliau memberi laluan bagi membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai 1.6 juta kakitangan awam dan kerajaan perlu memperuntukkan RM76 bilion setiap tahun untuk bayaran gaji dan elaun mereka.

Sebanyak RM21.6 bilion lagi dibelanjakan setiap tahun bagi pemberian pencen.

Lihat Komen