malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tapisan ketat BR1M perlu dikaji semula, kata Rizal
Diterbitkan:  Mar 7, 2017 8:00 PM
Dikemaskini: 1:54 PM
ADS

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor hari ini membangkitkan isu tapisan ketat untuk mengenal pasti pihak yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Katanya, banyak reaksi agak negatif di media sosial yang beranggapan penilaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mempunyai kelemahan, mengakibatkan penerima layak menerima “tempiasnya”.

Beliau membangkitkan isu pengesahan pendapatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), status perkahwinan, kad debit pelajar dan surat beranak anak yang sebelum ini tidak pernah berlaku.

“Kita faham tujuan LHDN melakukan tapisan yang ketat ini bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima BR1M.

“Ini mungkin bagi mengelakkan kes-kes pemberian BR1M sebelum ini, yang mana individu-individu berkemampuan turut menerima imbuhan itu.

“Malangnya, tapisan yang ketat ini dilihat orang ramai menjadi punca masalah kepada penerima-penerima BR1M yang sememangnya layak,” katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan yang tular di laman sosial bahawa pemohon yang berdaftar dengan SSM tidak layak mendapat bantuan itu.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Katanya, sesiapa yang memohon dan berpendapatan bawah RM4,000 layak menerima BR1M, tidak kira berdaftar dengan SSM atau tidak.

Dalam kenyataan hari ini, Rizal berkata berdasarkan respon diterima, kekurangan dokumentasi merupakan masalah utama menyebabkan permohonan BR1M gagal.

Beliau justeru mencadangkan prosedur operasi piawai penilaian BR1M dikaji semula memandangkan maklum balas diterima.

“Terdapat beberapa maklum balas yang menarik antaranya menyatakan ada individu cacat yang tak bekerja juga gagal menerima BR1M,” katanya.

“Kita tak pasti sejauh mana kebenaran dakwaan ini, namun sekiranya aduan yang sama diterima dari beberapa individu, maka perihal ini sewajarnya disiasat pihak yang berwajib.”

Lihat Komen