malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
TV China: Kakitangan kedutaan bakar dokumen
Diterbitkan:  Mar 7, 2017 12:42 PM
Dikemaskini: 5:35 AM
ADS

Kakitangan kedutaan Malaysia di Pyongyang dilaporkan membakar dokumen dan memuatkan bagasi mereka ke beberapa kendenderaan sejak malam semalam, lapor setesen televisyen, China Central Television (CCTV).

Laporan itu juga menyebut bahawa bendera Malaysia dan Asean di perkarangan kedutaan telah diturunkan pagi ini, manakala tiga kenderaan dilihat meninggalkan bangunan berkenaan.

Semalam, Pyongyang mengusir Duta Besar Malaysia Mohamad Nizam Mohamad sebagai tindak balas keputusan Wisma Putra yang mengisytiharkan Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai "persona non grata".

Kang Chol berlepas ke Beijing petang semalam.

Pagi ini, Pyongyang mendedahkan bahawa ia telah menguatkuasakan larangan sementara kepada rakyat Malaysia di Korea Utara daripada meninggalkan negara itu.

Sebagai tindak balas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia juga melarang pegawai dan kakitangan kedutaan Korea Utara daripada meninggalkan negara ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika ditemui oleh pemberita di lobi parlimen berkata terdapat 11 rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara.

Daripada jumlah itu, tiga kakitangan adalah kakitangan kedutaan yang dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Dua lagi, katanya adalah peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) manakala selebihnya adalah ahli keluarga mereka.

"Tiada ancaman terhadap mereka. Jangan kita membuat spekulasi.

“Saya juga akan menghubungi seorang daripada mereka tidak lama lagi," katanya.

Mengenai sama ada Putrajaya bercadang menutup kedutaan di Pyongyang, beliau berkata: "Untuk itu, kamu perlu tunggu kenyataan kerajaan."

Hubungan diplomatik antara Korea Utara dan Malaysia menjadi tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) pada 13 Februari lalu.

Korea Utara telah menuduh Malaysia bersekongkol dengan negara lain dan juga memalsukan bukti berhubung kes itu.

Malaysia menafikan tuduhan ini.

Lihat Komen