malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
4 tuntutan, 3 hari untuk MB Johor
Diterbitkan:  Mar 7, 2017 12:15 PM
Dikemaskini: 4:19 AM
ADS

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu Jimmy Puah mendakwa menteri besar Johor memberikan jawapan meragukan berkaitan penukaran status rumah lot bumiputera kepada lot antarabangsa di negeri itu.

Katanya, penjelasan Datuk Seri Khaled Nordin pada 4 Mac lalu jauh berbeza dengan angka yang diperjelas kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada April 2016.

“Saya ingin menekan perbezaan yang begitu ketara di antara jumlah RM332 juta yang dinyatakan dalam jawapan dewan dan juga angka RM600 juta yang disebut oleh menteri besar,” katanya.

Khaled, Sabtu lalu berkata kira-kira 3,000 unit rumah, kebanyakannya unit mewah kuota Bumiputera, ditukar kepada lot antarabangsa sejak akhir tahun 2013.

Dengan pertukaran itu, katanya, kerajaan negeri memperoleh RM600 juta daripada pemaju dan

dimasukkan ke dalam Tabung Harta Tanah Bumiputera, yang kemudiannya digunakan untuk membina lebih 6,000 unit rumah mampu milik Johor (RMMJ).

Bagaimanapun, kata Puah, dalam penjelasan hampir setahun lalu itu, kerajaan memaklumkan jumlah unit lot bumiputera yang dilepaskan dari tahun 2013 sehingga April 2016 adalah 4,503 unit manakala jumlah punggutannya pula lebih RM332 juta.

“Dari Mei 2016 sehingga akhir tahun 2016 kerajaan berjaya mengutip hampir RM268 juta dalam jangka masa ini.

“Anggaran kutipan setahun bagi tahun 2016 adalah hampir RM70 juta, berdasarkan kepada kadar sumbangan hampir RM23 juta setakat bulan April 2016.

“Ini bermakna jumlah sumbangan dari 2013-16 patut adalah hampir RM400 juta. Ini bermakna terdapat perbezaan sebanyak hampir RM200 juta yang tidak boleh dijawab oleh pihak kerajaan.

Dalam kenyataan hari ini, Puah juga membangkitkan sama ada salah satu jawapan itu palsu.

Puah juga bertanya sama ada perkara itu mempunyai kaitan dengan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan skandal harta tanah Johor.

Beliau yang juga timbalan pengerusi PKR Johor justeru mengemukakan empat tuntutan kepada Khaled dan mengugut membuat laporan kepada SPRM jika tiada jawapan diperoleh dalam tempoh tiga hari.

Pembangkang menuntut Khaled segera menjawab punca perbezaan ini, membuat pendedahan penuh dan terperinci berkaitan penukaran status lot bumiputera serta mahu tahu penggunaan terperinci Tabung Perumahan Bumiputera Johor sejak 2013.

PKR juga mahu tabung itu diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Johor.

Lihat Komen