malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Korea Utara larang rakyat Malaysia tinggalkan negara
Diterbitkan:  Mar 7, 2017 11:11 AM
Dikemaskini: 5:17 AM
ADS

Pyongyang mengumumkan larangan sementara kepada semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu untuk memastikan keselamatan para diplomat dan rakyat Korea Utara yang masih berada di Malaysia.

Keputusan itu dibuat ketika isu pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara Kim
Jong Un dilaporkan semakin memuncak.

Reuters memetik agensi KCNA melaporkan Kementerian Luar Korea Utara telah memaklumkan kepada kedutaan Malaysia di Pyongyang berhubung keputusan mereka itu.

"Semua warga Malaysia di DPRK (Republik Demokratik Rakyat Korea) dilarang daripada meninggalkan negara ini buat sementara waktu, sehingga kejadian yang berlaku di Malaysia diselesaikan dengan betul, " kata agensi berita rasmi KCNA, yang memetik Kementerian Luar.

Sementara itu, AFP pula melaporkan larangan itu sekali gus berpotensi menjadikan rakyat Malaysia sebagai tebusan berikutan pergeseran diplomatik yang semakin meruncing.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika ditemui oleh pemberita di lobi parlimen berkata terdapat 11 rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara.

Daripada jumlah itu, tiga kakitangan adalah kakitangan kedutaan yang dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Dua lagi, katanya adalah peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)  manakala selebihnya adalah ahli keluarga mereka.

"Tiada ancaman terhadap mereka. Jangan kita membuat spekulasi.

“Saya juga akan menghubungi seorang daripada mereka tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menganggap tindakan Korea Utara tidak membenarkan rakyat Malaysia keluar dari negara itu sebagai tidak bertamadun.

Lim turut mencadangkan supaya Malaysia supaya mendapatkan bantuan dari negara yang masih berbaik bersama Korea Utara agar memastikan keselamatan 11 warganegara Malaysia di negara itu.

"Ia tidak bertamadun. Kami sememangnya mengutuk tindakan Korea Utara.

"Kami menyokong tindakan oleh kerajaan persekutuan untuk menggesa pembebasan segera warganegara kita di sana.

"Saya rasa perkara utama ialah untuk memastikan rakyat Malaysia dan mungkin boleh meminta bantuan daripada negara yang masih berbaik dengan mereka (Korea Utara) untuk membantu," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Korea Utara mengisytiharkan Duta Besar Malaysia ke negara itu, Mohamad Nizan Mohamad sebagai ‘persona non grata’ dan perlu meninggalkan Pyongyang dalam tempoh 48 jam bermula pukul 10 pagi waktu tempatan.

Arahan itu dikeluarkan sejurus selepas Duta Besar Korea Utara, Kang Chol meninggalkan Malaysia pada pukul 3.55 petang waktu Malaysia semalam.

Kang Chol diarahkan meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam selepas Malaysia mengambil tindakan tegas dengan mengisytiharkan beliau sebagai ‘persona non grata’ dan mengarahkan pegawai berkenaan meninggalkan negara itu.

Keputusan itu diumumkan menerusi satu Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Besar Korea Utara selepas Kang Chol dan pegawai kanan dari kedutaan itu tidak hadir untuk bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin di Wisma Putra di Putrajaya, Malaysia.

Bagaimanapun, Mohamad Nizan sejak minggu lalu sudah dipanggil pulang oleh kerajaan dan beliau telah berada di Malaysia.

 

Lihat Komen