malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ramai kaitkan kes paderi dengan ‘orang k'jaan’ - Gerakan
Diterbitkan:  Mar 6, 2017 4:14 PM
Dikemaskini: 8:29 AM
ADS

Pelbagai pihak mahu pihak berkuasa segera menyelesaikan kehilangan paderi Raymond Koh daripada kes berkenaan menimbulkan pelbagai spekulasi.

Naib Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong membuat gesaan itu selepas menghadiri perhimpunan nyalaan lilin untuk paderi berkenaan, yang hilang sejak tiga minggu, di Shah Alam malam semalam.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi, tetapi semasa hadir pada acara nyalaan lilin, semalam sebahagian besar percaya bahawa penculikan itu dipengaruhi oleh orang kerajaan tertentu dengan kuasa tinggi. Ini tidak baik," kata Yong kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu, terutama dengan mengaitkannya dengan salah faham agama.

Yong juga menyatakan setakat ini belum ada sebarang permintaan untuk wang tebusan, dan ini menunjukkan penculiknya tidak berminat dengan ganjaran kewangan.

"Buat masa ini, polis kita sepatutnya mempunyai petunjuk tentang penculikan terancang itu.

“Lebih-lebih lagi jika rakaman CCTV yang telah tersebar luas adalah tulen, kerana ia tidak memerlukan seorang saintis roket untuk menyiasat dan mencari kebenaran.

"Dengan teknologi canggih dan sumber yang ada, saya sedar unit polis atau perisikan kita mempunyai kepakaran dalam kes seperti ini, kerana ini terbukti dalam usaha mereka dalam menentang keganasan," katanya.

Semalam, Khalid mengesahkan kesahihan klip video berkenaan, dan mendedahkan bahawa polis sedang mengenal-pasti beberapa suspek.

Runding dengan penculik

Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau bersedia untuk berunding dengan penculik untuk membebaskan paderi berkenaan, jika isu itu berkaitan dengan agama.

“Saya menawarkan diri untuk berunding dengan penculik demi menjaga nama baik Islam jika motifnya adalah di atas kebencian agama kerana Islam tidak mengajar manusia membenci antara satu sama lain disebabkan kerana kepercayaan seseorang,” kata Mujahid dalam satu kenyataan media.

Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, jika ada dakwaan usaha pemurtadan, ini perlu dibuktikan di mahkamah dan bukan diambil tindakan mengikut keputusan sendiri.

Pada tahun 2011, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendakwa NGO Komuniti Harapan yang dipimpin oleh Koh cuba memurtadkan umat Islam selepas melakukan serbuan pada sebuah majlis makan malam mengumpul dana di Gereja Methodist Damansara Utama.

Walau bagaimanapun, paderi itu tidak pernah didakwa atau dikenakan sebarang tindakan.

Lihat Komen