malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Diplomat Korea Utara yang diisytihar kerajaan Malaysia sebagai persona non grata, meninggalkan kedutaan negara itu di Damansara hanya beberapa minit sebelum jam 4 petang ini.

Kang Chol dijadual berlepas ke luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini.

Tidak dapat dipastikan sama ada Kang Chol akan terus menuju KLIA kerana pihak kedutaan tidak memberikan sebarang komen kepada media.

Bagaimanapun bagasinya dihantar ke lapangan terbang berkenaan lebih awal menaiki kereta Toyota Alphard.

Kang Chol diberi tempoh maksimum 48 jam untuk meninggalkan Malaysia oleh Putrajaya sejak petang kelmarin selepas dia gagal hadir dalam pertemuan dengan pegawai Wisma Putra.

Ketegangan hubungan diplomatik Putrajaya - Pyongyang berlaku ekoran beberapa kenyataan dibuat pihak Korea Utara berhubung pembunuhan Kim Jong-nam yang juga abang pemimpin tertinggi negara terbabit, Kim Jong-un.

Terbang petang ini

Kang Chol berlepas meninggalkan bangunan kedutaan itu menaiki kereta Jaguar berwarna hitam.

Turut kelihatan meninggalkan bangunan itu ialah isteri Kang Chol.

Kenderaan mereka diiringi dua kereta peronda polis

Kira-kira 30 minit sebelumnya kaunselor kedutaan itu, Kim Yu-song kelihatan meninggalkan premis kedutaan itu menaiki kereta Mercedes-Benz hitam.

Untuk memastikan keadaan lancar, beberapa anggota polis mengarahkan petugas media agar menjauhi pintu pagar bangunan itu seawal jam 2.20 petang.

Wartawan dan jurugambar memang 'berkampung' di sekitar kedutaan itu sejak awal dan tanpa sebarang maklumat rasmi dari pihak Korea Utara, mereka memburu setiap kenderaan keluar masuk kawasan berkenaan.

Difahamkan Kang Chol akan menaiki pesawat menuju ke Beijing, China pada jam 6.25 petang ini.

Minggu lalu Kang Chol berkata negaranya "tidak mempercayai" cara Malaysia menguruskan siasatan serta menuduh negara ini "bersekongkol dengan kuasa luar" dalam siasatan pembunuhan Jong-nam.

Korea Utara juga pada 22 Februari menuduh Putrajaya sebagai "amat menghina" kedaulatan republik itu berhubung siasatan mengenai pembunuhan berkenaan.

Jawapan itu diberikan ketika Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan kenyataan Kang Chol menuduh Malaysia tidak bersikap adil dalam penyiasatan berkenaan.

Lihat Komen