malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
IGP arah polis Selangor maklumkan keluarga paderi
Diterbitkan:  Mar 2, 2017 4:50 PM
Dikemaskini: 8:57 AM
ADS

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar akan mengarahkan mereka yang ditugaskan menyiasat kehilangan paderi Raymond Koh untuk memaklumkan keluarganya mengenai perkembangan terkini.

"Saya akan beritahu polis Selangor untuk memaklumkan kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, polis perlu berhati-hati berhubung maklumat yang diberikan kepada orang ramai kerana tempat di mana mangsa berada masih tidak diketahui.

"Dalam kes-kes seperti ini, kita perlu mengambil langkah berhati-hati kerana kita tidak mahu meletakkan mangsa dalam bahaya. Ini adalah prosedur operasi standard bagi perkara-perkara seperti itu," jelasnya.

Khalid berkata demikian ketika menjawab kenyataan daripada peguam keluarga mangsa, Phillip Koh.

Koh berkata pada 28 Februari, keluarga melalui peguam mereka telah menulis kepada pegawai yang mengetuai pasukan petugas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu untuk mengadakan pertemuan.

Keluarga mangsa menyatakan bahawa walaupun dua laporan polis telah dibuat, tidak ada sebarang perkembangan daripada pihak polis.

"Polis masih belum memberi respons mengenai pertanyaan tentang status kes itu dan untuk mempercepatkan siasatan kes itu," kata peguam.

Paderi berkenaan yang sedang dalam perjalanan untuk bertemu rakannya, diculik pada pagi 13 Februari lalu di Petaling Jaya.

Berdasarkan rakaman CCTV, dilaporkan bahawa kereta Honda Accord yang dinaiki Raymon telah dikepung beberapa kenderaan SUV hitam yang membawa lelaki bertopeng.

Sebelum ini, Khalid mengingatkan semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes itu, terutamanya mengaitkannya dengan agama.

Lihat Komen