malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Saya rujuk lampiran yang disertakan bersama iaitu jadual harga purata RON95 seperti yang didagangkan di pasaran terbuka di Singapura sepanjang Februari 2017 (yang dilaporkan oleh Platts dalam laporan MOPS) iaitu harga rujukan untuk menentukan harga RON95 bagi Mac 2017.

Oleh kerana tiada perubahan ketara dari segi harga minyak mentah dunia - iaitu stabil sekitar AS$56 setong bagi Februari - dan kadar tukaran matawang ringgit berbanding dolar AS yang berubah pada nilai kecil, harga RON95 sewajarnya kekal pada RM2.30 seliter mengikut formula yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan seperti di dalam Lampiran A.

Pun begitu, saya mengulangi desakan sebelum ini supaya harga siling maksimum RM2 seliter bagi RON95 diperkenalkan secepat mungkin kerana kerajaan Persekutuan mampu menanggung subsidi minyak yang sewajarnya dikembalikan kepada rakyat.

Semasa harga minyak mentah turun mendadak pada 2014, kerajaan Persekutuan tidak menurunkan harga petrol dan diesel yang dijual kepada rakyat. Sebaliknya, kerajaan Datuk Seri Najib Razak mengutip cukai daripada rakyat biasa secara diam-diam.

Apabila saya membongkar perkara mengenai cukai yang dikutip secara senyap ini pada 2014 (dianggarkan berjumlah RM633 juta bagi Disember 2014 saja) barulah kerajaan Najib menukar kaedah penetapan harga minyak.

Bagaimanapun, helah Najib adalah licik apabila beliau mengambil kesempatan kejatuhan harga minyak mentah dunia pada 2014 dan 2015 itu untuk menghapuskan terus subsidi minyak yang diberikan kepada rakyat selama berdekad lamanya.

Jana pendapatan tinggi

Alat propaganda beliau menaburkan fitnah kononnya saya yang mendesak kerajaan Persekutuan mengapungkan harga minyak mengikut pasaran dunia, sedangkan tuntutan saya selama bertahun-tahun ialah:

  1. Mengekalkan subsidi melalui kaedah harga siling supaya apabila harga melepasi satu paras yang membebankan, kerajaan Persekutuan menggunakan keuntungan dari hasil minyak negara yang jika tidak dikembalikan sebagai subsidi, hanya akan mengayakan kerajaan Persekutuan dan mungkin memboleh mereka berbelanja lebih boros
  2. Memastikan harga melalui kaedah penetapan harga minyak automatik terkawal (automatic pricing mechanism - APM) menjadi lebih telus dengan menterjemahkan kejatuhan harga minyak mentah dunia kepada harga petrol lebih rendah kepada pengguna (bukannya tidak menurunkan harga petrol dan diesel walaupun harga minyak mentah dunia telah jatuh)


Malaysia masih lagi menjana pendapatan yang tinggi daripada hasil minyak dan gas. Bagi setiap tong minyak atau gas (bersamaan satu tong) yang dijual, kerajaan Persekutuan mengutip dua jenis pendapatan lumayan seperti berikut:

  1. Pendapatan langsung daripada minyak mentah atau gas asli dalam bentuk royalti minyak, lesen, permit, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), duti dan cukai keuntungan petroleum pada 38 peratus (atau cukai pendapatan petroleum)
  2. Pendapatan tidak langsung daripada minyak mentah atau gas asli (melalui pengilangan hiliran atau pemprosesan atau aktiviti perniagaan hiliran) dalam bentuk GST, lesen, duti dan cukai keuntungan korporat.


Bagi tujuan menunjukkan keuntungan kerajaan Persekutuan apabila harga minyak mentah dunia meningkat, saya hanya akan merujuk kepada pendapatan langsung kerana ia berkadar langsung dengan harga minyak mentah dunia tanpa ada unsur kerugian kerana kos operasi dan lain-lain.

Saya rujuk penyata pendapatan negara yang dibentangkan Najib semasa Bajet 2017 yang menunjukkan anggaran pendapatan langsung dari hasil minyak adalah seperti berikut:

  • Cukai keuntungan petroleum, PITA: RM11 bilion
  • Permit dan lesen: RM4 bilion
  • Hasil minyak dari pesisir luar pantai bersama Malaysia-Thailand (MTJA): RM2 bilion
  • Jumlah pendapatan langsung: RM17 bilion

Jumlah royalti yang perlu dibayar kepada kerajaan Persekutuan sebenarnya bergantung kepada perjanjian cari gali ditandangani dengan syarikat minyak yang meneroka.

Sejak tahun 1974, aktiviti cari gali dan pengeluaran minyak dan gas di Malaysia dimeterai mengikut 4 jenis perjanjian (mengikut masa dan keadaan) yang menentukan berapa banyak royalti, lesen dan hasil lain yang perlu dibayar terus kepada kerajaan Persekutuan, seperti berikut:

  1. Perjanjian cari gali di bawah kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) 1975 – anggaran hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 38.1 peratus dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 15 peratus daripada pengeluaran keseluruhan
  2. Perjanjian cari gali di bawah PSC 1985 – anggaran hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 42.2 peratus dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 70 peratus daripada pengeluaran keseluruhan
  3. Perjanjian cari gali mengikut "hasil ke atas kos" sekitar 2010 – anggaran hasil langsung kepada kerajaan Persekutuan sebanyak 42.31 peratus dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 5 peratus dari pengeluaran keseluruhan
  4. Perjanjian cari gali di bawah kontrak laut dalam (deepwater) sejak awal 2000-an – anggaran hasil langsung kepada kerajaan Persekutuan sebanyak 30.1 peratus dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 10 peratus daripada pengeluaran keseluruhan.


Berdasarkan angka-angka tadi, saya rumuskan perbandingan jumlah pendapatan langsung kerajaan Persekutuan apabila harga minyak mentah naik kepada AS$55 setong bagi Januari dan Februari 2017, dan apabila harga minyak mentah diunjurkan mencecah harga purata tahunan AS$60 setong bagi 2017; berbanding harga yang digunakan untuk mengira jumlah pendapatan dalam Bajet 2017 iaitu AS$40 setong.

Saya sertakan kiraan di dalam Lampiran B.


 

Kesimpulan-kesimpulan penting dari kiraan ini adalah sepert berikut:

  • Pertambahan pendapatan langsung kepada kerajaan Persekutuan setiap hari pada Januari dan Februari 2017 menggunakan harga semasa berbanding yang dibentangkan Bajet 2017: RM17,525,930
  • Unjuran pertambahan pendapatan langsung kepada kerajaan Persekutuan setiap hari bagi 2017 menggunakan harga semasa berbanding yang dibentangkan Bajet 2017: RM23,367,906
  • Unjuran pertambahan pendapatan langsung kepada kerajaan Persekutuan bagi 2017 menggunakan harga semasa berbanding yang dibentangkan Bajet 2017: RM8,529,285,690


Dengan pertambahan hasil sebanyak RM18 juta sehari bagi Januari dan Februari, kemudian dijangka meningkat kepada RM23 juta sehari apabila harga minyak mentah semakin meningkat ke arah AS$60 setong, adalah sangat tidak bertanggungjawab jika wang ini tidak dikembalikan kepada rakyat.

Hasil pertambahan RM9 bilion ini perlu dibentangkan kepada parlimen dan Najib perlu memperincikan bagaimana wang itu akan digunakan, apatah lagi ini tahun pilihan raya dan saya sangat khuatir ia disalahgunakan untuk berkempen bagi mengekalkan Umno/BN.


RAFIZI RAMLI naib presidenk PKR merangkap anggota parlimen Pandan. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukan semestinya membayangkan pendirian rasmi Malaysiakini

Lihat Komen