malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB perlu bertanggungjawab, kata AMANAH Johor
Diterbitkan:  Feb 26, 2017 2:59 PM
Dikemaskini: 7:06 AM
ADS

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Johor, Dzulkefly Ahmad mahu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertanggungjawab sepenuhnya dalam kes rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri berkenaan.

Kata beliau, ini kerana ianya melibatkan anak exco, agensi kerajaan negeri seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Johor dan setiausaha kerajaan (bahagian Perumahan) yang terletak di bawah portfolio menteri besar sendiri.

"Menteri besar perlu tampil dengan penjelasan kenapa ketirisan dan penyelewengan serta salah guna kuasa dalam agensi kerajaan Johor berlaku secara terbuka akhir-akhir ini. Isu ini telah menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri itu.

"Saya tidak mahu komen, biar SPRM siasat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas penahanan enam lelaki termasuk anak dan pegawai khas seorang pegawai kerajaan negeri Johor yang dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri itu.

Pada hari yang sama, enam lelaki berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira jam 8.30 pagi.

Turut ditahan dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal tersebut.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, AMANAH negeri Johor mendesak supaya pihak SPRM membuat siasatan secara telus dan pendakwaan perlu dilakukan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan dan rakyat menerima hukuman yang setimpal.

Lihat Komen