malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak perlu haramkan Dego Ride, kawal selia cukup - Ideas
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 12:17 PM
Dikemaskini: 4:55 AM
ADS

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pusat Hak Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam pertimbangan untuk tidak mengharamkan perkhidmatan Dego Ride.

Ini kerana, kata Wan Saiful, jelas terdapat pasaran untuk perkhidmatan tersebut yang disifatkan sebagai baru dan inovatif.

"Tidak lama dahulu, kerajaan cuba untuk mengharamkan perkhidmatan GrabCar dan Uber.

"Tetapi selepas mendengar pendapat pengguna dan memahami kawalan dalaman oleh kedua-dua syarikat mengenai sistem keselamatan, sebaliknya, kerajaan memilih untuk mengawal selia perkhidmatan itu.

"Jadi mengapa kerajaan tidak boleh mengelak daripada mengharamkan Dego Ride dan sebaliknya, mengkaji bagaimana menjadikan perkhidmatan tersebut selamat untuk pengguna," soal Wan Saiful.

Beberapa hari yang lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dipetik sebagai berkata, kerajaan tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan mengharamkan perkhidmatan Dego Ride di negara ini.

Katanya, walaupun perkhidmatan itu dilihat sebagai sesuatu yang inovatif dalam industri pengangkutan awam negara, namun ia perlu dikaji secara teliti dahulu sebelum membuat keputusan.

"Kabinet tidak ada setuju ataupun tidak setuju mengenainya (Dego Ride) kerana setakat ini kita masih tidak ada lagi undang-undang berkaitan dengannya.

"Kita kena kaji dahulu tekanan pasaran Dego Ride sebagaimana perkhidmatan Uber kerana ia dilihat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna, selain platform kepada golongan berpendapatan bawah 40 peratus (B40) menjana pendapatan sampingan," katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata kabinet bersetuju dengan keputusan kementerian berkenaan untuk mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride atas faktor keselamatan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga boleh mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan keselamatan pengguna.

"Berbeza dengan larangan, SPAD boleh mengambil langkah-langkah untuk memastikan keselamatan pengguna. Dalam kes Grab dan Uber, pemandu dimestikan mempunyai lesen yang sah untuk menjadi pemandu dan kenderaan diperiksa secara berkala oleh Puspakom.

"Kerajaan juga boleh membentangkan peraturan mengenai perkhidmatan kongsi-tunggang. Dego Ride hanya perlu dilibatkan dalam peraturan ini," katanya.

Pada masa yang sama, Malaysia juga boleh belajar daripada pengalaman negara-negara ASEAN lain yang mempunyai teksi motosikal dari segi bagaimana menguruskan keselamatan dan jenis peraturan yang ada, jelasnya.

"Kita tidak harus menyekat inovasi, begitu juga mengurangkan pilihan pengguna. Dego Ride boleh berpotensi mencipta pendapatan tambahan untuk penunggang motosikal, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah," tambahnya.

Lihat Komen