malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BERSIH: Salah JPN benar pengundi guna alamat pejabat
ADS

Kumpulan reformasi pilihan raya BERSIH berpendapat isu Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin dan Anggota Parlimen DAP, Teresa Kok didaftar menggunakan alamat pejabat pusat khidmat masing-masing merupakan 'isu yang sama'.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, ia merupakan kesalahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung pendaftaran alamat dalam MyKad.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga harus mempunyai prosedur operasi standard yang jelas untuk tidak menerima pengundi dengan alamat pejabat," katanya kepada Malaysiakini.

Mengikut Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), alamat MyKad perlu mengikut alamat kediaman.

Borang A, iaitu untuk diisi oleh mereka yang ingin menukar alamat dalam senarai pengundi, di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, menetapkan bahawa alamat mestilah sama seperti alamat MyKad.

Walaupun kes Khaled dan Kok adalah agak sama, BERSIH bagaimanapun melihat kes Khaled lebih serius.

"Kebimbangan BERSIH adalah kami mahu menghindar situasi di mana satu tempat memiliki 10 hingga 20 pengundi yang didaftarkan. Ini adalah kritikan kita terhadap niat jahat Khaled di mana beliau memindahkan pengundi," kata Maria.

ADUN Mengkibol dari DAP, Tan Hong Pin pada Ahad lalu membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai beratus-ratus pengundi mencurigakan di Johor termasuk Khaled.

Mengikut rekod SPR, Khaled dan puluhan yang lain adalah pengundi di alamat ibu pejabat Umno Bahagian Pasir Gudang di Jalan Tembusu, Taman Rinting, Johor.

Khaled bagaimanapun menafikan beliau adalah salah seorang pengundi meragukan seperti didakwa kerajaan Pakatan Harapan itu.

Beliau juga menegaskan bahawa tiada apa yang salah untuk mendaftar sebagai pengundi menggunakan alamat pejabat.

Penolong Setiausaha Umno Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros kemudian mempersoalkan mengapa Tan mengkritik Khaled sedangkan Kok juga menggunakan alamat pusat khidmat beliau untuk mendaftar sebagai pengundi.

Mengikut rekod SPR, bekas ADUN Kinrara itu adalah seorang pengundi berdaftar di sebuah pusat komersial di Taman Kinrara Seksyen 3, Selangor, walaupun pusat khidmat itu telah dipindahkan.

Kok mengesahkan perkara itu tetapi menegaskan bahawa beliau tidak melakukan kesalahan kerana tidak terlibat dalam memindahkan pengundi secara haram.

"Menurut peraturan SPR, kita perlu didaftarkan mengikut alamat pada MyKad tetapi ia tidak bermaksud saya perlu tidur di sana," katanya.

Tan juga menegaskan bahawa aduannya kepada SPR adalah sah dan kes Khaled adalah berbeza kerana "ia tidak masuk akal untuk mempunyai 40 pengundi berdaftar di satu alamat".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen