malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Teresa pun daftar undi guna alamat pejabat'
ADS

Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang mempersoalkan mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol Tan Hong Pin bersikap berat sebelah terhadap Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menggunakan ibu pejabat Umno kawasan sebagai alamat daftar mengundi.

Penolong Setiausahanya Noor Azleen Ambros berkata perkara itu tidak seharusnya dipersoalkan memandangkan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok turut menggunakan alamat pejabatnya dalam rekod daftar pengundi.

“Dari pemeriksaan kami kenapa ADUN Mengkibol tidak gunakan hujah yang sama ke atas YB Teresa Kok? Saya boleh tunjuk yang Teresa guna alamat Pusat Khidmat untuk daftar pemilih.

“Kenapa berat sebelah,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini Tan mempersoalkan mengenai senarai daftar mengundi Khaled yang menyatakan bahawa beliau menetap di ibu pejabat Umno bahagian Pasir Gudang di alamat 1, Jalan Tembusu, Taman Rinting bersama 13 yang lain.

Mengulas lanjut Azleen berkata kenyataan DAP itu hanya menunjukkan mereka terdesak untuk memburukkan Khaled kerana tidak ada isu yang boleh dikaitkan dengan ADUN Permas itu.

Azleen ketika ditanya mengapa Khaled bertindak menukar alamatnya berkata:

“Macam menteri besar, rumah rasmi dia di Saujana yang terletak di Johor Bharu, bukan di Pasir Gudang tapi kamu sebagai wakil rakyat sudah tentu kamu cuba yang terbaik untuk daftar mengundi di kawasan yang kamu wakili,” katanya.

Tan ketika dihubungi berkata beliau tidak boleh menjawab persoalan tersebut bagi pihak Teresa namun tetap mempersoalkan mengapa terdapat 40 pemilih dalam satu bangunan pejabat.

“Bagaimanapun, kes menteri besar sangat berbeza dan ekstrem, apabila kita lihat 40 orang pemilih di bawah satu bangunan pejabat. Sangat jelas ada pihak yang cuba memanipulasikan daftar pemilih,” katanya.

'Ia bukan satu kesalahan'

Sementara itu Teresa ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau menggunakan alamat pejabatnya malah menegaskan ia tidak menjadi satu kesalahan.

Tambahnya lagi, ia bukan baru memandangkan pada tahun 2008 MCA pernah mempersoalkan perkara tersebut namun bantahan itu ditolak oleh SPR.

“Saya tak terlibat dengan pemindahan pengundi, saya cuma nak bertanding di Selangor jadi saya perlu guna alamat Selangor.

“Pada 2008 saya bertanding di Kinrara, MCA buat bantahan juga kerana cakap saya tak tidur di sana. Tapi syarat SPR, kalau alamat kad pengenalan ditukar, kalau guna alamat dalam kad pengenalan tak semestinya saya tidur situ dan bantahan MCA itu ditolak.

“Kamu boleh periksa, tidak ada satu pengundi pun yang guna alamat itu, saya seorang. Itu pejabat saya. Kad pengenalan saya tukar alamat pejabat saya memang tak salah kan,” kata bekas ADUN Kinrara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen