malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Harapan saya hancur sama sekali, kata pelajar UiTM dipecat
Published:  Jul 4, 2001 7:06 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
ADS

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dipecat bulan lalu kecewa dengan kenyataan Menteri Pendidikan semalam yang menggesa semua pusat pengajian tinggi tempatan menolak permohonan seseorang yang pernah dikenakan tindakan tatatertib itu.

"Seluruh masa depan saya untuk menjadi manusia yang berpengetahuan dan berilmu menerusi pendidikan di peringkat universiti di Malaysia hancur sama sekali," kata bekas pelajar jurusan kejuruteraan elektrik, Rafzan Ramli.

Tan Sri Musa Mohamad dilaporkan berkata "kita (kementerian) juga menasihatkan IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) supaya tidak menerima pelajar itu," selain meneruskan dasar kementerian itu yang menghalang seseorang dipecat menyertai institusi pengajian awam lain.

Pelajar tahun dua itu disingkir serta-merta 22 Jun lalu selepas didapati bersalah terbabit dalam perhimpunan haram bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di depan Masjid Negara pada 8 Jun.

Beliau dan lima pelajar lain ditahan hampir 24 jam di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Rafzan kini menunggu jawapan rayuannya daripada Kementerian Pendidikan.

"Jika hukuman pemecatan saya dari UiTM kekal dan Menteri Pendidikan menolak rayuan yang saya kemukakan, peluang saya untuk mendapat pendidikan (di negara ini) tertutup buat selama-lamanya," katanya.

Aktivis pelajar itu menegaskan, kemudahan untuk mendapat pengajian di peringkat tertinggi yang termampu memang menjadi hak asasi seseorang dan beliau tidak wajar didiskriminasikan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) esok akan bertindak sebagai "orang tengah" bagi mendengar hujah-hujah pegawai jawatankuasa tatatertib UiTM dan pelajar itu.

Pesuruhjayanya Profesor Hamdan Adnan pernah memberitahu malaysiakini , pertemuan suruhanjaya itu dengan UiTM akan bermula jam 10 pagi di pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut.

Rafzan menghantar memorandum kepada badan hak asasi itu sehari selepas disingkirkan dan menggesa, antara lain: Suhakam menyiasat perbicaraan tatatertib itu yang didakwa tidak adil dan tidak bebas, dan juga memohon UiTM membatalkan keputusan memecat Rafzan yang dianggap tidak demokratik.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.