malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Rundingan persendirian dalam usaha firma International Petroleum Investment Co (IPIC) milik Abu Dhabi bagi mendapatkan AS$ 6.5 bilion daripada firma bermasalah Malaysia 1MDB dilaporkan menghadapi kebuntuan, kata sumber kepada Reuters.

IPIC telah memfailkan kes berkenaan ke Mahkamah Timbangtara Antarabangsa (LCIA) di London pada Jun lalu tetapi menurut sumber, kedua-dua firma pelaburan negara milik kerajaan itu sedang berusaha membincangkan penyelesaian secara persendirian.

Bagaimanapun, mereka gagal untuk merapatkan perbezaan, dan kini pertelagahan itu akan diserahkan kepada LCIA, kata sumber yang enggan namanya disiarkan, memberitahu Reuters.

Mahkamah berkemungkinan mengambil masa 15 hingga 18 bulan untuk mencapai keputusan, kata satu sumber dan kelewatan dalam menyelesaikan pertikaian itu boleh memalukan kedua-dua belah pihak.

Kerajaan Malaysia mahu menjarakkan dirinya daripada tuduhan itu, yang menjadi tumpuan siasatan pengubahan wang haram di seluruh dunia dalam, sebelum pilihan raya umum dijangkakan dalam tempoh tahun ini.

"Rundingan persendirian menghadapi jalan buntu - mereka tidak bersetuju berhubung satu atau dua isu besar.

“Nampaknya mahkamah akan terpaksa membuat keputusan," kata sumber yang rapat dengan rundingan itu, walaupun beliau menambah bahawa penyelesaian di luar mahkamah masih mungkin dicapai.

Amat berahsia

Sumber berpangkalan di Abu Dhabi itu berkata: "Penyelesaian terbaik adalah penyelesaian di luar mahkamah, tetapi ini seolah-olah tidak akan berlaku."

Disember lalu, IPIC mencadangkan supaya 1MDB membuat bayaran permulaan AS$1.2 bilion untuk membantu mencapai penyelesaian muktamad tetapi pihak Malaysia menolaknya, kata sumber.

Kedua-dua jurucakap IPIC dan 1MDB enggan mengulas mengenainya.

Kes berkenaan juga berpotensi memalukan Abu Dhabi, yang secara tradisinya amat berahsia tentang pelaburannya.

Julai tahun lalu, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman bagi merampas aset bernilai AS$1 bilion yang dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB, termasuk hartanah mewah di New York, Beverly Hills dan London, lukisan serta jet peribadi.

Bekas eksekutif kumpulan IPIC Khadem al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy al-Husseiny telah dinamakan dalam saman di Amerika Syarikat itu.

Al-Qubaisi dan al-Husseiny tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. Polis Abu Dhabi dan pegawai kerajaan juga enggan mengulas.

Hubungan diplomatik

Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dan firma Abu Dhabi itu banyak melabur dalam sektor hartanah, bank dan infrastruktur di Malaysia.

Pada Jun 2015, IPIC bersetuju memberi pinjaman AS$1 bilion kepada 1MDB dan menjamin bon AS$ 3.5 bilion yang diterbitkan 1MDB.

Firma Abu Dhabi itu turut melunaskan jumlah yang tidak didedahkan hutang 1MDB sebagai pertukaran dengan aset yang tidak dikenal pasti.

Kerjasama itu menjadi tegang tahun lalu, apabila IPIC berkata 1MDB gagal membayar pinjamannya, dan firma Malaysia berkenaan tidak membuat bayaran faedah ke atas dua bon yang dijamin IPIC.

Menurut sumber, punca pertelagahan kedua-dua firma itu adalah jumlah wang yang telah dibayar oleh 1MDB kepada IPIC.

Semakin rumit

Firma pelaburan Malaysia itu menegaskan bahawa mereka telah membayar AS$3.5 bilion kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investments.

Bagaimanapun, IPIC berkata, bahawa dana AS$3.5 bilion itu disalurkan ke sebuah syarikat yang didaftarkan di Kepulauan British Virgin dengan nama hampir sama, iaitu Aabar Investments PJS Ltd, yang bukan sebahagian daripada kumpulan IPIC.

1MDB, yang diasaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2009, kini menjadi fokus siasatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam buah negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Najib telah menafikan sebarang salah laku dan pada bulan Januari 2016, siasatan rasmi Malaysia ditutup. Peguam Negara Malaysia kemudian membebaskannya daripada sebarang kesalahan.

Sejak pertikaian itu, kedua-dua negara telah berusaha untuk memperbaiki kelemahan firma dana pelaburan masing-masing. Tahun lalu, kementerian kewangan Malaysia membubarkan lembaga penasihat 1MDB dan mengambil alih sebahagian besar baki asetnya.

Kerajaan Abu Dhabi pula, bulan lalu menggabungkan IPIC dengan satu lagi firma pelaburan negara yang besar, Mubadala Investment.

Bagaimanapun sebarang penyelesaian pertikaian itu bakal menjadi rumit berikutan siasatan antarabangsa ke atas 1MDB dan ketidakpastian jumlah asetnya yang bakal diperolehi semula.

- Reuters

Lihat Komen