malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda Umno tak halang ahli sertai Himpunan Akta 355
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 11:24 PM
Dikemaskini: 3:28 PM
ADS

Pergerakan Pemuda Umno tidak akan menghalang ahlinya untuk menyertai Perhimpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 anjuran PAS, yang akan diadakan Sabtu ini.

Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata ia merupakan keputusan dan pendirian Pemuda Umno terhadap perhimpunan yang akan diadakan di Padang Merbok dan telah mendapat kelulusan pihak polis itu.

"Kita tidak boleh menghalang sesiapa pun dari menyertai perhimpunan itu. Itu pendirian dan keputusan kita," katanya selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara, malam ini.

Khairul Azwan berkata beliau secara peribadi juga akan menyertai perhimpunan berkenaan jika berkesempatan.

Dijangka sebanyak 200,000 orang hadir ke perhimpunan yang bertemakan 'Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera' itu.

ADS

Pada 24 November lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat untuk memperkasakan
mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

RUU itu bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang turut dikenali Akta 355.

Dalam perkembangan lain, Khairul Azwan berkata Pemuda UMNO mengalu-alukan keputusan Kabinet hari ini yang akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

"Ini satu langkah awal yang baik. Namun saya harap tiada sebarang spekulasi sehingga pasukan petugas khas ini selesai menjalankan siasatannya," katanya.
 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen