malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Nasihat tentera, harapan banduan dalam p'raya
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 7:11 PM
Dikemaskini: 11:14 AM
ADS

GLOBAL Panglima Tentera Indonesia Gatot Nurmantyo menasihati anggotanya supaya tidak mempengaruhi pasangan masing-masing ketika mengundi memilih ketua daerah pada hari ini.

Menurut Gatot, anggota tentera juga tidak sepatutnya terlibat secara langsung dalam aktiviti politik sepanjang tempoh pemilihan berlangsung.

"Jangan pengaruhi isteri anda untuk memilih mana-mana calon ketua daerah. Jika pilihan anda dan pasangan adalah berbeza, itu lebih baik. Anda boleh bertengkar dengan mereka," katanya dipetik Tempo hari ini.

Gatot berucap kepada kira-kira 600 anggota tentera marin di Cilandak, Jakarta Selatan.

Sebanyak 101 daerah - termasuk Jakarta - mengadakan pilihan raya bagi memilih ketua masing-masing pada hari ini.

Tumpuan utama diberi kepada ibu negara Indonesia apabila penyandang, Basuki Tjahaja Purnama dan regunya, Djarot Saiful Hidayat, dicabar Anies Baswedan-Sandiaga Uno dan Agus H Yudhoyono-Sylviana Murni.

Walaupun popular sebahagian pengundi di Jakarta dijangka mengalih sokongan mereka daripada Basuki - atau lebih dikenali sebagai Ahok - kepada dua pasangan calon lain ekoran kes penghinaan agama yang dikaitkan kepadanya.

Faktor agama dan bangsa dilihat memberi pengaruh agak besar kepada kecenderungan 7.1 juta pemilih di Jakarta.

Gatot berkata anggota marin diingatkan supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana tahap kesedaran politik masyarakat Indonesia masih lemah ketika ini.

Dinding besi bukan penghalang

Proses pengundian turut disertai banduan. Di Penjara Wanita Pondok Bambu, seramai 144 tahanan menunaikan tanggungjawab masing-masing di peti undi.

Tempo melaporkan, dinding dan palang besi tidak menghalang mereka mengetahui perkembangan semasa di dunia luar.

Seorang daripada mereka - dikenali hanya sebagai Yuli - berkata dia mengetahui wawasan dan perancangan setiap calon gabenor Jakarta melalui siri debat yang disiarkan di televisyen.

Tahanan berasal dari Pulogebang di Jakarta Timur itu berkata dia sudah membuat pendirian sebelum tarikh pembuangan undi hari ini.

Dia sudah berada di penjara berkenaan sejak satu setengah tahun lalu dan perlu menghabiskan tempoh berbaki 17 tahun lagi.

Ditanya apa harapannya kepada calon yang menang nanti, Yuli menyatakan, sekurang-kurangnya dia ingin supaya masalah kesesakan lalu lintas di Jakarta dapat diatasi dengan berkesan.

"Eh, tapi tempoh saya di sini masih lama ya..." katanya.

Lihat Komen