malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rajiv: Jika Uber, Grab boleh, mengapa tidak Dego Ride?
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 12:21 PM
Dikemaskini: 4:25 AM
ADS

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Rajiv Rishyakaran mempersoalkan tindakan kerajaan yang memburu dan mengenakan saman ke atas penunggang motorsikal yang menjalankan perkhidmatan Dego Ride mengikut Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau yang juga adalah ADUN Bukit Gasing, berkata, langkah berkenan harus dihentikan kerana pemandu Grab dan Uber yang juga melanggar akta sama dengan menyediakan perkhidmatan serupa tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan.

“Kita tidak pernah dengar JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) ingin memburu pemandu Uber dan Grab, sebaliknya kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan Uber dan Grab beroperasi secara sah kerana sedar akan faedahnya kepada rakyat Malaysia.

“Mengeluarkan saman terhadap penunggang Dego Ride adalah jelas amalan dwi-standard (oleh kerajaan) sedangkan hampir kesemua pemandu Uber dan Grab melakukan kesalahan yang sama,” katanya yang dipetik oleh portal Roketkini.

Rajiv (atas, kanan) juga menggesa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi layanan serupa terhadap penunggang Dego Ride bagi mengalakkan rakyat negara ini menggunakan pengangkutan awam.

“Dego Ride memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah ‘first mile last mile’, dan mampu mengalakkan lagi rakyat Malaysia bertukar daripada penggunaan kereta persendirian kepada perkhidmatan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan lain-lain,” katanya.

Liow pada Sabtu lalu, mengarahkan supaya perkhidmatan teksi motorsikal dihentikan serta merta atas faktor keselamatan.

JPJ turut dilaporkan mula mengeluarkan saman terhadap penunggang Dego Ride.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj bagaimanapun sebelum ini dilaporkan berkata tiada peruntukan undang-undang yang menghalang mereka daripada terus menjalankan operasi perkhidmatan itu.

Katanya, perkhidmatan itu diasaskan bukan sekadar untuk mencari keuntungan semata-mata, malah bagi membantu golongan B40 untuk menjana pendapatan sampingan dengan bermodalkan motorsikal sebagai pelaburan pertama.

Ia juga dilihat selaras dengan hasrat kerajaan Umno-BN supaya rakyat negara ini melakukan dua, tiga atau lebih pekerjaan bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat.

Lihat Komen