malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan tetap haramkan 'teksi motosikal'
ADS

Syarikat perkhidmatan teksi motosikal 'Dego Ride' diberi masa tujuh hari untuk tampil berbincang dengan Kementerian
Pengangkutan berhubung perkhidmatan itu, kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bagaimanapun, tegasnya kementerian tetap dengan keputusan mengharamkan perkhidmatan itu berikutan isu keselamatan penumpang.

"Tiada keraguan dalam larangan Dego Ride. Ia adalah sangat jelas. Kerajaan dan kementerian telah membuat keputusan untuk mengharamkan perkhidmatan ini memandangkan ia berbahaya kepada keselamatan penumpang.

"Kementerian telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memanggil syarikat itu tampil memberi penjelasan," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara (KL ATCC), di Sepang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai permintaan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj, supaya diberi peluang untuk membahaskan isu perkhidmatan teksi motosikal itu yang dilaksanakan sejak
November tahun lepas.

Semalam, Liow berkata perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 serta Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah.

Katanya walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas namun ia juga membawa kemudaratan kerana berdasarkan statistik, penunggang motosikal menyumbang kira-kira 62 peratus kepada kemalangan maut pada tahun
lepas.

Lihat Komen