malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keputusan kerjasama PAS-BERSATU Jumaat
Diterbitkan:  Feb 14, 2017 12:15 PM
Dikemaskini: 4:20 AM
ADS

PAS akan membuat keputusan berhubung cadangan kerjasama politik bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya Jumaat ini.

Menurut Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memberi penjelasan mengenai keputusan dalam mesyuarat itu, lapor Utusan Malaysia.

"Saya mengetuai pertemuan dengan Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir awal bulan lalu dan seluruh anggota Jawatankuasa Kerja Pusat PAS perlu mendengar sendiri penjelasan presiden parti sekali gus membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Langkah seterusnya adalah mengkaji tindakan susulan dalam Muktamar Tahunan PAS April ini sebelum Majlis Syura Ulama membuat keputusan muktamad," katanya yang dipetik sebagai berkata.

Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak terikat dengan sebarang tempoh atau mana-mana pihak termasuk Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membuat sebarang keputusan berkaitan parti.

Menurutnya, kerjasama politik antara PAS dan mana-mana parti lain bukan keputusan individu tetapi melibatkan perbincangan semua pihak di peringkat.

"Tahaluf siyasi (kerjasama politik) itu juga akan sentiasa dikaji dari semasa ke semasa kerana ia boleh diputuskan pada bila-bila masa jika parti atau pihak berkaitan bertindak mengkhianati PAS.

"Jika Dr Mahathir mempersoalkan isu penyertaan PAS dalam pakatan pembangkang, kita memang tidak akan menyertainya semula. Jadi, tidak perlu memberi sebarang tempoh," jelasnya.

Bayangan Hadi

Sabtu lalu, Dr Mahathir memberitahu bahawa pihaknya memberi masa sebulan kepada PAS sama ada akan menyertai Pakatan Harapan atau tidak.

Bekas perdana menteri itu berkata, keputusan segera harus diperoleh bagi menentukan strategi seterusnya.

Bagaimanapun, pada Ahad Abdul Hadi membayangkan bahawa parti itu akan bergerak sendirian pada pilihan raya umum akan datang.

Kata Abdul Hadi, dasar PAS sangat jelas iaitu partinya tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lihat Komen