malaysiakini logo
story-image
ADS

Gabungan beberapa NGO Islam hari ini menyuarakan kebimbangan mereka terhadap amalan rasuah dan penglibatan 'tangan ghaib' yang didakwa melindungi kegiatan perjudian.

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membangkitkan perkara itu sebagai reaksi terhadap laporan mendakwa tauke judi merasuah sehingga RM20,000 sebulan serta penglibatan “tangan ghaib” yang menyukarkan tugas polis.

Pengerusi PEMBELA Aminuddin Yahaya mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas menangani perkara itu.

"PEMBELA mendesak agar KDN dapat memastikan bahawa tidak ada tangan-tangan yang menghalang dari jalankan siasatan dilakukan.

"PEMBELA meminta supaya SPRM menyiasat dan mengambil tindakan jika terdapat elemen rasuah yang menjadi punca kegagalan usaha-usaha membanteras isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Selain itu, menurut Aminuddin pembanterasan pusat judi perlu dilakukan secara menyeluruh, tidak kira sama ada ia pusat judi berlesen atau tidak.

Ketika ditanya apakah tindakan selanjutnya yang akan dilakukan NGO berkenaan, Aminuddin berkata pihaknya mengambil pendekatan untuk menunggu terlebih dahulu respon daripada pihak kerajaan berhubung desakan mereka.

"Kita akan tunggu respon daripada kerajaan. Kalau tak ada apa, kita akan bincang. Kita tak boleh nak dedahkan apa yang kita akan buat sebab tak nak orang 'potong jalan' kita.

"Kita harap dapat berbincang dengan kerajaan untuk banteras isu ini," katanya lagi.

Lihat Komen