malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengaruh Anwar telah lama terpadam, kata Umno Cheras
Diterbitkan:  Feb 12, 2017 4:00 PM
Dikemaskini: 8:05 AM
ADS

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah lama padam sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke penjara Sungai Buloh.

Justeru, kata beliau, pakatan pembangkang sama ada diketuai oleh Anwar mahupun Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdepan dengan pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak akan mengubah sokongan dan keyakinan rakyat terhadap Umno.

"Pengaruh Anwar sudah lama padam sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke penjara Sungai Buluh dan PKR sekadar parti tumpangan dalam pakatan pembangkang sambil mengharap belas ehsan DAP.

"Saya yakin, Umno dan BN akan terus meraih kemenangan lebih cemerlang pada PRU akan datang kerana sebilangan besar pengundi sudah memahami apa sebenarnya hala tuju parti-parti pembangkang di negara ini.

"Pakatan pembangkang yang kini bercakaran sesama mereka tidak akan memberi saingan sengit kepada Umno dan BN khususnya dan kemungkinan akan kehilangan beberapa kerusi Parlimen," ujarnya dalam blog beliau.

Mengenai pertemuan selama 45 minit antara Mahathir dan Anwar baru-baru ini, beliau yang juga ketua Umno bahagian Cheras berkata, ia tidak bermakna blok pembangkang sudah mencapai permuafakatan yang muktamad.

Sebaliknya, tegasnya, pertemuan tersebut sekadar usaha Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendekatkan diri dengan Anwar yang merupakan seteru politik sejak sekian lama.

"Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam pertemuan 45 minit itu tetapi saya tidak fikir satu ketetapan telah dicapai, mungkin tawar -menawar ataupun mungkin Mahathir memohon maaf kepada Anwar dan keluarga beliau," jelas beliau.

Oleh itu, Umno tidak terkesan dengan pertemuan yang disifatkan oleh pihak pembangkang sebagai bersejarah itu kerana barangkali sekadar pertemuan dua bekas musuh politik.

"Mungkin juga Mahathir merayu kepada Anwar supaya menasihatkan isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Aziziah Wan Ismail melepaskan jawatan ketua pembangkang di Parlimen, semua ini kemungkinan dan tidak mustahil boleh terjadi," katanya lagi.

Menurutnya, ada pihak berpendapat amat wajar untuk Mahathir mengetuai blok pembangkang kerana Wan Azizah tidak mempunyai karisma dan kredibiliti sebagai pemimpin politik.

Pada masa yang sama, Syed Ali memuji PAS kerana mengambil tindakan berani meninggalkan pakatan pembangkang kerana parti itu telah 'sedar' percaturan politik DAP.

"Ia merupakan jawapan kepada tanggapan selama ini yang bermain di kepala orang Melayu betapa malangnya negara ini jika berketuakan ideologi DAP.

"Orang Melayu terutama golongan liberalisme marah apabila DAP dikatakan parti rasis, ekstrim dan tidak menyenangi kedudukan orang Melayu, oleh sebab itu apabila PAS angkat kaki, pelbagai tuduhan dan ungkapan kesat dilemparkan terhadap pemimpin parti Islam itu," katanya.

Lihat Komen