malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kata dua Dr M: PAS tak perlu sebulan, kata Hadi
ADS

PAS membayangkan akan bergerak sendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila menegaskan bahawa parti itu tidak perlu menunggu tempoh sebulan seperti ditawarkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN).

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata dasar PAS sangat jelas iaitu parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Tak perlu tunggu sebulan dengan BERSATU. Kita sudah ada dasar. Dasar (kita) tidak kerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan AMANAH.

“Kita sudah buat keputusan, semua parti ada hubungan dengan DAP dan AMANAH, kita tak ada hubungan dengan mereka.

“Tak perlu tunggu (BERSATU). Bila dia dah ada hubungan dengan DAP dan AMANAH, habislah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Ampang hari ini.

Hadi berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi tempoh sebulan dari hari ini kepada pemimpin PAS untuk memutuskan sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan ataupun tidak

Hadi turut menolak untuk berjumpa dengan Dr Mahathir untuk berbincang mengenai perkara itu memandangkan BERSATU mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH.

Hubungan dengan PKR

Malah jelasnya, PAS akan membuat keputusan mengenai hubungan dengan PKR dalam Muktamar parti Islam itu pada 28 April ini di Alor Setar.

“PKR pun kita akan buat keputusan masa Muktamar nanti,” katanya.

Namun PAS masih berteka-teki mengenai sama ada akan meneruskan hubungan dengan PKR atau tidak.

“Itu akan lihat bila tiba masanya,” katanya.

Hadi ketika ditanya adakah PAS boleh bekerjasama dengan pakatan pembangkang seperti dalam gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) di tahun 1990 berkata:

“Masa tu tak timbul masalah, (sekarang ni) menentang secara secara terbuka, masa itu tak ada kerjasama dengan DAP, kita dengan Semangant46 sahaja.

“Kita ada dasar yang tak kerjasama dengan parti tentang Islam dan yang ada hubungan dengan parti yang menentang Islam,” katanya.

Lihat Komen