malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli ekonomi gesa pemisahan peranan di sektor awam
ADS

Bekas penolong gabenor Bank Negara Datuk Latifah Merican menyertai gesaan supaya berlaku pemisahan peranan dalam sektor awam.

Beliau turut berpendapat bahawa peguam negara tidak sepatutnya menjadi penasihat undang-undang kepada kerajaan dan membuat keputusan terakhir berhubung pendakwaan.

Kepada satu soalan, beliau bersetuju bahawa peranan perdana menteri dan menteri kewangan juga perlu dipisahkan seperti amalan di negara lain.

Latifah, yang juga timbalan presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) bersetuju pemisahan peranan dalam perkhidmatan awam disuarakan oleh masyarakat sivil, iaitu kumpulan Melayu G25 dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

"Sudah tentu, menteri kewangan adalah menteri kewangan. Begitu juga, banyak organisasi masyarakat sivil telah membangkitkan isu bahawa peguam negara adalah penasihat undang-undang kepada kerajaan dan pengadil akhir untuk membuat keputusan mengenai pendakwaan.

"Terdapat percanggahan di sini," katanya pada sidang akhbar semalam.

Sebaik-baiknya, beliau berkata peranan ini perlu diasingkan dan negara ini mesti melaksanakan proses tertentu untuk memastikan sistem semak dan imbang.

"Di kebanyakan negara, mereka mempunyai pejabat pendakwa raya (berasingan daripada pejabat Peguam Negara), sedangkan kita digabungkan,"  katanya menambah keadaan itu tidak wajar berlaku di Malaysia.

Beliau bagaimanapun berkata MEA tidak akan mengulas mengenai isu melibatkan individu.

Dimulakan Mahathir

Amalan memegang jawatan perdana menteri dan menerajui kementerian kewangan serentak dimulakan bekas perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau melantik dirinya sendiri sebagai menteri kewangan pada 1998 hingga 1999 dan dari 2001 hingga 2003.

Penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi juga memegang jawatan menteri kewangan sepanjang tempoh perkhidmatan dan ia teruskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir, yang meninggalkan Umno untuk membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dilapor menyeru pemisahan peranan perdana menteri dan menteri kewangan untuk mengelak berulangnya kegagalan 1MDB.

Sementara itu, Latifah juga mahu kuasa legislatif dikembalikan semula supaya parlimen boleh menjadi lebih berdikari.

"Parlimen harus mempunyai pentadbiran sendiri dan (menjadi) bebas. Parlimen harus mengambil pekerja (kakitangan sendiri) untuk mengembangkan kepakaran sendiri dan mereka boleh membantu ahli parlimen untuk melakukan kerja mereka dengan lebih baik.

"Tetapi, pada masa ini pegawai-pegawai parlimen dibayar oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan oleh itu mereka boleh disingkirkan (oleh kerajaan)," katanya.

"Mesti ada pemisahan fungsi eksekutif dalam berurusan dengan belanjawan dan juga (pengurusan) parlimen," kata Latifah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen