malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Salleh: Saya tak perlukan tunjuk ajar pemimpin DAP
Diterbitkan:  Feb 8, 2017 6:56 PM
Dikemaskini: 10:59 AM
ADS

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menolak saranan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang supaya beliau bersekolah aatau menuntut ilmu berhubung skandal kewangan kerajaan.

"Saya tidak perlukan tunjuk ajar daripada (ahli parlimen DAP) Tony (Pua), seperti Kit Siang, untuk memahami sesuatu yang asas," kata Salleh dalam satu catatan di blog, berhubung isu 1MDB.

Apa yang disenaraikan oleh Lim, kata Salleh, adalah semata-mata isu operasi yang terlibat dalam menjalankan perniagaan.

Menurut Salleh, adalah amalan biasa bagi sesuatu syarikat untuk mengumpul dana daripada pelbagai sumber untuk membeli aset dan menjalankan perniagaan melainkan jika syarikat itu memulakan perniagaan dengan modal berbayar yang besar.

"Dan dalam kes 1MDB modal permulaan itu hanya RM1 juta.

"Isu di sini ialah adakah 1MDB benar-benar kehilangan RM42 bilion seperti apa yang didakwa," soalnya, merjuk kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata bahawa RM42 bilion telah "lesap” begitu sahaja.

Jika dakwaan itu benar, kata Salleh, 1MDB tidak akan mempunyai apa-apa untuk ditunjukkan.

"Itu tidak benar kerana 1MDB mempunyai aset bernilai RM51 bilion berserta pembangunan berterusan untuk beberapa tahun akan datang."

Sementara itu, mengenai kerugian forex Bank Negara dan BMF, Salleh berkata, kerugian yang dialami adalah benar dan tanpa sebarang faedah kepada negara.

"Sebaliknya, 1MDB adalah kebimbangan yang berterusan. Mungkin Kit Siang perlu menukar gurunya jika Tony (Pua) tidak menjelaskan ini kepadanya," kata Salleh.

Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata Salleh boleh menuntut mengenai skandal 1MDB daripada Pua.

Pua dalam satu persidangan meja bulat ‘Selamatkan Malaysi’a semalam berkongsi slaid yang mendakwa bahawa pendedahan kerajaan adalah lebih daripada RM39.8 bilion akibat hutang dari bon 1MDB yang dijamin kerajaan - tidak termasuk pinjaman berkaitan Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange.

Mengulas mengenai persidangan meja bulat itu, Salleh berkata beliau tidak menghadiri majlis berkenaan kerana ia bukan mengenai menyelamatkan Malaysia tetapi mempunyai motif dan agenda tersembunyi lain.

Lihat Komen