malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hakim dalam kes larangan perjalanan Zunar tarik diri
Diterbitkan:  Feb 8, 2017 2:43 PM
Dikemaskini: 7:24 AM
ADS

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Hanipah Farikullah hari ini bersetuju untuk menarik diri daripada mendengar permohonan semakan kehakiman kartunis Zunar yang mencabar larangan perjalanan ke luar negara yang dikenakan ke atasnya oleh pihak berkuasa.

Hakim Hanipah membenarkan permohonan peguam Latheefa Koya dan Raul Lee Bhaskaran supaya beliau menarik diri.

Ini disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Mohd Rizal Fadzil yang mewakili Jabatan Imigresen, dan Latheefa selepas mereka keluar dari kamar hakim.

Latheefa berkata mereka memohon supaya hakim itu menarik diri kerana Hanipah telah membuat penghakiman ke atas kes yang serupa seperti dalam kes Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan aktivis Hishamudin Rais.

Dilaporkan bahawa permohonan Pua untuk mencabar larangan perjalanan ke luar negara telah ditolak oleh Hakim Hanipah atas alasan melancong ke luar negara bukan hak perlembagaan manakala permohonan Hishamudin juga ditolak pada 15 April tahun lalu.

ADS

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ul-Haque, menamakan Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri dan polis dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Disember.

Ini susulan selepas Zunar dilarang menaiki penerbangan ke Singapura dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3 petang, 17 Oktober lalu untuk menghadiri satu forum di Universiti Kebangsaan Singapura.

 Zunar, 55, memohon perintah certiorari untuk membatalkan arahan sekatan perjalanan oleh responden terhadapnya yang dimaklumkan secara lisan pada 17 Okt 2016.

Beliau memohon perintah deklarasi bahawa sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, ia terbatal, tidak sah dan tidak berperlembagaan, selain memohon perintah dari mahkamah untuk mengarahkan kesemua responden membenarkannya ke luar negara tanpa sekatan.

Kartunis itu berkata larangan perjalanan berkenaan melanggar hak perlembagaan di bawah Perkara 5 (hak untuk hidup), Perkara 8 (hak kepada persamaan) dan Perkara 9 (hak untuk bergerak).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen