malaysiakini logo
ADS
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pertandingan fotografi bikini di Bangi dibatalkan
ADS

Penganjur pertandingan fotografi bikini di Bangi, Icreative Event telah membatalkan program berkenaan, selepas bantahan Pemuda PAS dan NGO Melayu setempat.

Menurut pegawai acara syarikat itu Charyl Ng, mereka terpaksa membatalkan pertandingan itu “atas sebab-sebab dalaman”.

"Dengan dukacita, kita perlu batalkan acara itu. Kita batalkan acara itu sebab masalah dalaman.

“Kita tidak boleh beritahu," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) daerah Hulu Langat hari ini dilapor membantah penganjuran pertandingan melibatkan supermodel antarabangsa di Bangi Wonderland Theme Park and Resort di Bangi Avenue, 19 Februari ini.

Yang dipertuanya Mohd Noor Azib Asmangi berkata penganjuran program itu mencabar sensitiviti penduduk Bangi yang kebanyakannya beragama Islam, lapor Ismaweb.

ADS

Malah, katanya, ia tidak selari dengan slogan “Bangi Bandar Berilmu” dan menjadikan kehidupan Islam sebagai teras.

“Program seperti ini perlu dibatalkan sebagai menghormati penduduk yang majoritinya ialah Melayu Islam,” katanya ketika dihubungi portal NGO itu hari ini.

“Pihak ISMA sendiri menolak sekeras-kerasnya penganjuran program yang tidak memberi manfaat kepada umat Islam sebegini dan yang mempromosikan program-program yang berbentuk sosial serta tidak bermoral secara terbuka begini.”

ADS

Noor Azib juga menggesa penduduk bersama-sama membantah program itu dan mereka akan berhubung dengan persatuan penduduk setempat untuk membincangkan usaha mengeluarkan petisyen bantahan bersama.

Pemuda PAS Kawasan Serdang juga dilapor membantah keras penganjuran program itu yang dikatakan “tidak membawa sebarang faedah terhadap masyarakat setempat".

Ketuanya Rosli Jusoh menyeru pihak berkuasa menggunakan peruntukan undang-undang bagi menghalang acara itu serta menyeru bantahan awam dibuat terhadapnya.

Acara itu dikatakan akan diadakan di sebuah taman tema air.

Pemenang pertandingan penggambaran itu akan dianugerahkan wang tunai RM500, trofi dan tiket masuk ke acara acara makan malam gala program itu yang bernilai RM300 setiap kerusi sehingga RM10,000 semeja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen