Ahli Jawatankuasa Audit Dalaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengadakan mesyuarat esok dan memanggil bekas pengerusi agensi itu, Tan Sri Annuar Musa yang kini sedang digantung jawatan.
Pengerusi sementara MARA dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) Datuk Dr Yusof Yacob berkata, untuk berlaku adil, Annuar dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadapnya.
“(Mesyuarat itu) bukan hari ini, mesyuarat itu esok pagi. Kan hari itu kita buat keputusan dia direhatkan sementara… mestilah (panggil Annuar) untuk adil.
“Tapi saya tak tahu masa (mesyuarat) dia. Kita kena serah kepada jawatankuasa. Saya tak tahu, mungkin mesyuarat ini panjang,” katanya.
Yusof berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan agensi itu di Pejabat MARA hari ini.
Yusof yang kini menjawat jawatan sementara Annuar berkata, beliau menerima amanah itu asalkan MARA dapat terus bergerak ke hadapan.
“Saya diamanahkan, bagi saya siapa-siapa sahaja, yang penting MARA diterajui, kebetulan bukan saya minta pun. Kita menggalas tanggungjawab,” katanya.
Bagaimanapun Yusof enggan memberitahu mengenai masa dan butiran mesyuarat itu.
Minggu lalu MARA memutuskan untuk menggantung jawatan Annuar serta merta.
Jumaat lalu Annuar turut disoal siasat selama empat jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana.
MRSM berbayar masih cadangan
Sementara itu Yusof ketika diminta mengulas mengenai cadangan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan.
Jelasnya pihaknya akan membangunkan sebuah MRSM berbayar untuk melihat dahulu perkembangan seterusnya.
“Kita tengah timbang nak laksanakan sebab banyak permintaan. Banyak orang yang berkemampuan pun minta nak belajar di MRSM.
“Jadi kita bagi tawaran kepada mereka yang mampu. Kita ada 52 MRSM. Ada orang tak dapat kecil hati, kita bagi peluang dan kokurikulum sama. Setakat ini kita cuba satu dulu,” katanya.
Namun Yusof berkata pihaknya masih belum memutuskan bilakah sesi persekolahan MRSM itu akan bermula.
Terdahulu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kewujudan MRSM berbayar akan membantu anak-anak golongan berpendapatan rendah untuk terus belajar.
Katanya, MRSM untuk pihak berkemampuan akan memberi kelebihan kepada golongan berpendapatan rendah kerana tidak perlu berebut tempat.
Namun cadangan tersebut masih di peringkat kajian awal dan belum dibawa ke mesyuarat Majlis MARA, serta belum dirujuk kepada kementerian untuk kelulusan.