malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
AMK: 'Wilayah Persekutuan' PP satu penjajahan
ADS

Pemuda PKR menolak keras cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan.

“Cadangan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan adalah satu usaha terdesak Umno dan BN untuk merampas hak rakyat negeri ini daripada menentukan masa depan kami sendiri.

“Usaha ini adalah satu bentuk penjajahan baru ke atas negeri Pulau Pinang,” kata Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin yang juga exco kesihatan negeri.

Tengku Adnan pada Sabtu menafikan berniat meluaskan kuasa ke negeri itu, sebaliknya disebabkan “keprihatinan”terhadap nasib Melayu yang didakwanya tidak dipedulikan.

Selepas menerima laporan polis oleh pemimpin DAP, beliau kemudian menjelaskan bawah pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng, bukan Melayu sahaja, tetapi semua kaum dipinggirkan.

Bagaimanapun, terdapat ahli akademik berpendapat cadangan itu tidak boleh dilaksanakan kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Pulau Pinang sebagai salah satu negeri berdaulat dalam Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, AMK juga menyangkal dakwaan bahawa rakyat negeri Pulau Pinang dipinggirkan.

ADS

Afif berkata, pelbagai program kebajikan rakyat di negeri itu telah dilaksanakan, antaranyaprogram mikrokredit Projek Titian Saksama Rakyat dan Tabung Usahawan Tani Muda serta Agenda Ekonomi Saksama yang untuk mengeluarkan keluarga daripada status miskin tegar.

“Ini adalah bukti komitmen dan iltizam kami untuk membela rakyat di negeri Pulau Pinang,” katanya.

“Kami percaya sebab kepada cadangan ini adalah bagi menutup kegagalan BN di Putrajaya untuk menguruskan ekonomi negara dan akibatnya menanggung bebanan hutang yang tinggi sekarang.”

Afif juga mendakwa cadangan Tengku Adnan bertujuan menambahkan kutipan cukai pusat melalui pungutan hasil negeri, untuk membayar hutang akibat dakwaan skandal 1MDB dan ketirisan.

“Jika Datuk Seri Tengku Adnan percaya bahawa kerajaan persekutuan mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan, maka PKR mencadangkan agar isu-isu masalah jalan, bekalan elektrik dan air di beberapa negeri seperti Sabah dan Sarawak wajib diselesaikan segera.

“Dana itu juga boleh digunakan untuk membina kelengkapan sekolah yang lebih baik untuk anak-anak di pedalaman serta dibelanjakan untuk meringankan beban mahasiswa di universiti-universiti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen