malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pertemuan PAS-BERSATU esok, Umno akan diam diri?
Diterbitkan:  Jan 31, 2017 2:03 PM
Dikemaskini: 6:07 AM
ADS

Anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar membangkitkan persoalan adakan Umno akan membenarkan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) menjalinkan kerjasama dengan PAS.

Sedangkan, kata bekas naib presiden PAS itu, parti Melayu itu sudah pun menjalinkan kerjasama secara “ta’awun” (tolong-menolong) bersama PAS.

“Perjumpaan antara PAS dan BERSATU pada 1 Februari 2017 (esok) sudah tentu menarik perhatian semua pihak, khususnya pemerhati dan penggerak politik tanah air terutamanya pimpinan Umno.

“Menariknya apabila PAS dan BERSATU sedang merangka untuk mengorak langkah mencari ruang membentuk kerjasama.

“Tetapi dalam masa yang sama PAS dan Umno sudah pun mesra menjalin hubungan 'kerjasama' dalam istilah ta'awun,”kata Mahfuz dalam kenyataannya hari ini.

Katanya, walaupun hubungan kerjasama PAS dan Umno tidak dinamakan 'kerjasama politik' secara terang-terangan namun kedua-dua parti itu selesa dengan pendekatan berkenaan.

Ia kerana, katanya, partinya dan Umno mahukan pulangan keuntungan politik dari pendekatan ta'awun tersebut.

Satu pertemuan antara PAS dan BERSATU dijangka bakal berlangsung itu sebagai susulan untuk membincangkan draf kerjasama yang telah dikemukakan sebelum ini.

Selain itu kedua parti itu juga akan membincangkan mengenai pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan “bagi membentuk kerjasama yang lebih erat”.

Mahfuz turut berkata, rakyat sedang memerhati, tindakan Umno yang seterusnya mengenai langkah PAS dan BERSATU itu.

Namun Mahfuz berkata beliau secara peribadi berharap kerjasama itu dapat dimeterai bagi membolehkan PAS kembali semula dalam gabungan pakatan pembangkang dan menyertai Pakatan Harapan.

“Secara peribadi adalah diharapkan jalinan kerjasama PAS dan BERSATU dimeterai untuk membolehkan PAS kembali berada dalam arus perdana politik Malaysia bersama rakyat dalam 'pakatan besar pembangkang' iaitu Pakatan Harapan.

“Ia untuk meranapkan Umno-BN dalam PRU14 nanti.

"Tiada maknanya kerjasama BERSATU dan PAS ini kepada rakyat Malaysia jika sekadar berada dalam blok ketiga dan 'mengasingkan diri' dari rakan parti pembangkang yang lain,” katanya.

Lihat Komen