Terjemahan Perlantikan sembilan hakim ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan hari ini sekali lagi menyaksikan hakim-hakim yang lebih kanan dalam badan kehakiman negara, telah diketepikan.
Hakim Datuk Richard Malanjum 52, Datuk Arifin Zakaria, 54, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, 62, dan Datuk Augustine Paul, 60, mengangkat sumpah hari ini sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan di Putraya Hari ini.
Bagaimanapun, empat hakim paling kanan di Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Mokhtar Sidin, Datuk Denis Ong dan Datuk Abdul Kadir Sulaiman diketepikan dalam proses kenaikan pangkat kali ini.
Di segi senioritinya, daripada sejumlah 12 hakim Mahkamah Rayuan, Richard di kedudukan keenam, Arifin ketujuh, Nik Hashim kesebelas manakala Paul (foto) yang mengendalikan perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat terakhir.
Empat lagi hakim Datuk James Foong 59, Datuk Azmel Maamor 63, Datuk Mohd Noor Abdullah 65, Datin Paduka Zaleha Zahari 56 dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin turut dilantik hari ini sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.
Daripada sejumlah 59 Hakim Mahkamah Tinggi, dari segi senioritinya, Foong berada di kedudukan kedua, Azmel keempat, Mohd Noor keenam, Zaleha ke-13 manakala Zulkefli di kedudukan ke-14.
Disebabkan kekurangan ketelusan dalam proses pemilihan perlantikan dalam badan kehakiman, maka tidak ketahui mengapa hakim-hakim yang lebih baru dilantik ke jawatan tersebut, manakala hakim yang lebih kanan daripada mereka, telah ketinggalan.
Memorandum Majlis Peguam
Majlis Peguam pernah menghantar memorandum kepada Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada tahun 2003, menggesa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Bebas Perkhidmatan Kehakiman untuk menyelia perlantikan hakim. Bagaimanapun, sehingga ini tiada jawapan daripada beliau.
Memorandum itu dihantar ketika tercetus kontroversi berhubung perlantikan hakim pada tahun 2003 yang turut menyaksikan hakim yang lebih kanan telah diketepikan.
Antara mereka yang dilantik pada tahun 2003 ialah Paul, Datuk Ariffin Jaka hakim yang menjatuhkan hukuman sembilan tahun penjara ke atas Anwar bagi kesalahan liwat dan Datuk Pajan Singh Gill hakim yang mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Ariffin itu. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan dan hukuman tersebut September tahun lalu.
Ahmad Fairuz bagaimanapun ketika itu telah mempertahankan senarai kenaikan pangkat tersebut dengan menyatakan bahawa para hakim dilantik berdasarkan banyak faktor, yang termasuk "kemampuan, integriti, pengalaman dan pelakuan mereka".
