malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Felda bukan di ambang bankrap, kata Shahrir
Diterbitkan:  Jan 29, 2017 2:30 PM
Dikemaskini: 6:33 AM
ADS

"Saya juga mendapat gambaran bahawa ia (Felda) dalam bahaya. Saya menerima pandangan itu," demikian kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengenai sebab-musabab beliau menerima lantik sebagai pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Beliau yang juga ahli Parlimen Johor Bahru berkata, beliau juga bersetuju dilantik ke jawatan berkenaan asalkan Felda dipisahkan dengan Felda Global Ventures (FGV).

"Sebenarnya saya tidak berminat untuk apa-apa jawatan, tetapi bila ditanya berkaitan Felda, saya cepat mengatakan 'yes', saya boleh terima.

"Saya terima asalkan ia dipisahkan dengan Felda Global Ventures (FGV) kerana dikhuatiri jika menerajui kedua-duanya, ia tidak menjadi. Ini penting bagi memudahkan mereka yang tidak faham peranan Felda dan fungsi FGV.

"Sebabnya, saya melihat Felda sebagai satu usaha yang sudah berjaya sehinggakan Felda menjadi institusi ekonomi dan sosial pada masyarakat Melayu. Masyarakat luar bandar berjaya dikeluarkan daripada kemiskinan dan berjaya mengambil bahagian dalam ekonomi negara.

"Selain itu, saya juga mendapat gambaran bahawa ia (Felda) dalam bahaya. Saya menerima pandangan itu," jelas beliau dalam wawancara yang dijalankan bersama Sinar Harian.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, pengumuman mengejut perdana menteri mengenai pelantikan Shahrir sebagai pengerusi Felda mengesahkan bahawa isu-isu yang ditimbulkan mengenai kewangan agensi itu adalah benar.

Malah, katanya, sejak beliau memulakan pendedahan bersiri mengenai kepincangan kewangan Felda tiga minggu lalu, tidak ada satu pun kenyataan rasmi dari Felda atau pengerusinya ketika itu, Tan Sri Isa Samad bagi menjawab angka-angka berkenaan.

"Pelantikan mengejut Tan Sri Shahrir Samad seakan-akan mengesahkan masalah kewangan yang meruncing yang dialami Felda dan menjunamnya sokongan peneroka Felda sendiri kepada Umno ekoran prestasi Tan Sri Isa Samad yang tidak memberangsangkan dan tidak popular.

"Meskipun begitu, tanggungjawab sebenarnya terletak di bahu Datuk Seri Najib sendiri kerana pengurusan Felda berada di bawah tanggungjawabnya.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa beliau (Shahrir) tidak boleh mencuci tangan atas segala kerosakan yang telah berlaku bersabit Felda," kata Rafizi lagi.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, beliau bukan 'Superman' untuk memastikan penyelewengan dalam Felda akan diperangi habis-habisan.

"Saya bukan Superman. Bukan saya sebenarnya. Saya hanya memberi kepimpinan kerana peranan saya sebagai pengerusi.

"Seperti saya kata, Felda ada kemampuannya sendiri, tapi saya nak kena sedarkan organisasi ini agar jangan takut. Sedarlah! Bangunlah! Awak boleh buat ini semua, Felda ada kepakaran, ada kekuatan, bangunlah!.

"Sebagai pengerusi, bukan saya kata saya datang dengan pedang, dan boleh pancung sesuka hati," kata beliau lagi.

Mengenai pembelian Ladang Pt Eagle High Plantation di Indonesia, Shahrir menambah, beliau bersetuju kepada pembelian itu kerana ia sebagai satu pelaburan.

"Pelaburan utamanya kita beli sebahagian yang besar, 37 peratus dari segi saham dan bila saya tengok balik kepada ladang ini, pada pukul ratanya usia pokoknya telah mencecah usia tujuh tahun.

"Bila pokok sawit ini tujuh tahun, dia dah mula masuk kepada apa yang kita panggil sebagai matang tua.

"Jadi, bila dia punya hasil itu masuk ke tujuh tahun, lapan sampai kepada 20 tahun, dia punya hasilnya itu memang maksimum. Dia mempunyai kawasan ladang yang besar, 125,000 hektar," katanya.

Mengakui pembelian tersebut menggunakan dana kerajaan sebanyak AS$500 juta, angka ini juga telah digunakan pembangkang ketika saham FGV dulu jatuh dan beli pula yang ini, tambahnya.

"Ia mungkin akan menjadi modal kempen untuk pilihan raya.

"Betul, tapi kalau akhirnya masa pilihannya dah ada pulangan dividen yang munasabah, maka ini peluang yang baik.

"Munasabah itu dari segi kos pembayaran balik dan sebagainya. Ia juga akan melihat adanya peningkatan harga pasarannya apabila pendapatan bertambah. Jadi ini semua berpunca daripada keadaan tentunya harga sawit itu sendiri," ujarnya.

Berkenaan kedudukan kewangan Felda ketika ini, Shahrir berkata, tidak timbul sama sekali isu Felda akan bankrap.

"Bankrap itu kalau tanya pembangkang.

"Selama ini, kita beli kita simpan, beli simpan. Jadi hari ini kita kena menghasilkan, kita cairkan, kita jual dan kita bukan jual dalam keadaan kerana kita bankrap. Kalau kita bankrap, kita jual rumah yang kita duduk, tetapi situasinya bukan begitu.

"Ataupun kita bila dah ada lebih itu kita tukar lah pula dari segi punca pelaburannya, dari kita melabur dalam saham kita melabur pula kepada money market ataupun simpan dengan Bank Islam dan sebagainya sebagai dana-dana Islam," jelas beliau lagi.

Lihat Komen