malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelancong China meningkat sempena Tahun Baharu Cina
Diterbitkan:  Jan 27, 2017 11:34 AM
Dikemaskini: 3:51 AM
ADS

Agensi pelancongan tempatan tidak menang tangan dengan peningkatan jumlah pelancong China yang berkunjung sempena cuti Tahun Baharu Cina hujung minggu ini.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, Datuk Albert Tan Sam Soon berkata ramai pelancong negara Tembok Besar itu mengambil peluang melancong ke Malaysia sempena cuti panjang sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Berikutan peningkatan pelancong China yang mendadak itu, beberapa agensi pelancongan terpaksa mendapatkan pas pemandu pelancong sementara bagi mengendalikan mereka, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ia bertujuan untuk membawa pelancong China bersiar-siar di negara ini.

"Pulau Pinang, Melaka, Pulau Langkawi, Johor Bahru, Sabah dan Sarawak menjadi destinasi pilihan utama pelancong China yang mula tiba minggu ini," katanya.

Albert Tan berkata jumlah pelancong China semakin meningkat terutama pada musim perayaan berikutan lebih banyak laluan penerbangan yang ditawarkan antara Malaysia dengan bandar-bandar utama di China.

Kemudahan pengecualian visa atau kemudahan ENTRI (Pendaftaran pelancongan elektronik) dan kemudahan visa elektronik yang diperkenalkan oleh kerajaan pada Mac 2016 turut membantu meningkatkan bilangan pelancong China ke negara ini, katanya.

Beliau berkata antara lain usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menjalankan promosi di China serta hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan China turut membantu menarik ramai pelancong China ke negara ini.

Persatuan Pelancongan Cina Malaysia yang mempunyai 800 anggota dari empat wilayah utama iaitu Pulau Pinang, Perak, Johor Bahru dan Sabah telah bersiap sedia untuk menerima kedatangan pelancong yang dijangka meningkat sehingga kira-kira empat juta sepanjang tahun ini.

Sebelum ini media melaporkan jumlah permohonan untuk rakyat China ke Malaysia bagi tempoh Mac hingga Disember 2016 ialah 2.2 juta berbanding 1.2 juta bagi tempoh sama pada 2015.

Pada 2015, pelancong China berbelanja kira-kira RM5.7 bilion atau purata RM3,500 seorang semasa berada di negara ini.


-Bernama

Lihat Komen